KUALA LUMPUR: Meriah disorak peminat, penyanyi, Tomok dan Siti Nordiana warnakan konsert Memori Mungkin Berulang dengan dendangan lagu Bollywood dan K-pop.
Antara lagu yang menggamatkan suasana konsert ‘intimate’ itu adalah Kill This Love, Kuch Kuch Hota Hai dan Koi Mil Gaya secara tidak langsung menjadikan acara itu malam yang bermakna buat peminat mereka.
Kata Tomok atau nama lengkapnya, Shah Indrawan Ismail, 41, nyanyian lagu tersebut mengimbau kenangan mereka ketika berentap di pentas Akhir All Star Gegar Vaganza 2023.
“Lagu Kill This Love ini betul-betul mengimbau kenangan ketika kami menyanyikannya pada pusingan battle konsert Akhir All Star Gegar Vaganza 2023,” katanya.
Selain K-Pop dan Bollywood, Tomok dan Siti Nordiana turut menyampaikan sebanyak 23 buah lagu hits mereka sekali gus membuatkan penonton terbuai dan menyanyi bersama.
Antara lagu hits yang disampaikan oleh Siti Nordiana atau Nana, Cinta Hanya Sandaran, Hatiku Milikmu, Terus Mencintai, Perlukan Mu dan banyak lagi.
Manakala, Tomok tampil menyanyikan lagu solonya, Aku Datang, Berlari, Rinduku Terhenti serta beberapa lagu hits kumpulan New Boyz seperti Sejarah Mungkin Berulang dan Meraung.
Pada masa sama, mereka turut menyanyikan lagu-lagu duet Siti Nordiana bersama Allahyarham Achik Spin seperti, Memori Berkasih, Gurauan Berkasih dan Paling Comel.
Berpuas hati dengan sambutan penonton, Tomok dan Nana sempat meluahkan hasrat mereka untuk mengadakan konsert tersebut di Singapura bersama kumpulan New Boyz.
“Melihat sambutan yang hebat begini, rasanya konsert ini boleh dibawa ke Singapura, tetapi terpulang kepada pihak penganjur. Jika dilihat daripada sambutan boleh dikatakan ‘full house’.
“Mungkin pada konsert itu kita gabungkan Siti Nordiana, Tomok dan Newboyz di atas satu pentad. Apa pun terima kasih kepada peminat yang menyokong kerjaya kami sejak dahulu sehingga ke hari ini,” kata Tomok.