PETALING JAYA: Pembabitan penyanyi, Zubir Khan, dalam semi final muzik-muzik ke-39(SFMM39) tahun lepas meninggalkan impak kerana dia satu-satunya penyanyi yang mempertaruhkan lagu yennode Macha yang sepenuhnya berbahasa Tamil.
Meskipun tidak berpeluang ke Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), pertaruhan lagu tersebut mencetuskan harapan buat pemuzik lain yang ingin melihat lagu bukan berbahasa Melayu ciptaan mereka mendapat tempat dalam program popular tersebut.
Mengulas mengenai perkara itu, Zubir, berpandangan lagu-lagu berbahasa lain seperti Tamil dan Mandarin selayaknya diberi peluang untuk berentap dalam Muzik-Muzik, dan sekali gus ke AJL sekiranya karya-karya tersebut berkualiti.
“Saya bangga dan gembira kalau ada pihak yang menganggap penyertaan Yennode Macha dalam SFMM39 sebagai pembuka pintu kepada lagu berbahasa lain untuk masuk dalam pertandingan itu.
“Kita ramai pembikin lagu yang berbakat, tak kiralah lagu bahasa apa sekali pun, kalau berkualiti, haruslah diberi peluang.
“Dan saya akan ajak rakan-rakan pemuzik berbangsa India yang lain untuk hantar penyertaan mereka untuk bertanding dalam Muzik-Muzik, mana tahu mereka berpeluang berentap dalam AJL,” katanya.
Zubir mengulas tentang pandangan Ketua Juri SFMM39, Edry Abdul Halim yang menyifatkan pertaruhan lagu Yennode Macha dalam acara popular itu sebagai pembuka pintu kepada lagu berbahasa lain untuk dipertandingkan dalam acara yang sama.
Dalam pada itu, Zubir atau nama sebenarnya Muhammad Zubir Mohamad Ali memaklumkan dia belum merancang untuk mengadakan konsert solo.
“Konsert mungkin ada, tapi bukanlah solo, sebaliknya dengan rakan-rakan artis lain yang bernaung di bawah label yang sama dengan saya.
“Mungkin belum masanya untuk saya buat konsert solo memandangkan jumlah pendengar berbangsa Melayu yang mengikuti lagu-lagu Tamil nyanyian saya masih rendah berbanding pendengar berbangsa India, jadi, konsert solo belum lagi,” katanya.