BARU-BARU ini saya bertemu serampang dua mata dengan pelakon hebat, Jalil Hamid dan kami berborak mengenai isu lagu ‘menangkap’ yang hangat diperdebatkan masa kini.
Antara yang rancak kami bualkan adalah mengenai lagu Ayam, yang liriknya ditulis Jalil manakala melodinya dicipta Dr. Azmeer Abu Bakar pada tahun 1993.
‘Menangkap’ dan fenomenanya lagu itu sampaikan ia diciplak di negara seberang sehingga mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda buat penyanyi, Allahyarham Farid Harja dan Merry Andani.
Merasakan hak telah dicuri, Jalil dan Azmeer menuntut keadilan dengan membawa isu itu ke mahkamah namun berakhir gagal hanya disebabkan hak cipta luar tidak dilindungi di Indonesia pada waktu itu.
“Mereka guna melodi yang sama, cuma rentaknya diubah kepada muzik dangdut. Saya dan Azmeer cukup terkilan kerana mereka rakam semula tanpa kebenaran namun berjaya menjual tiga juta unit album itu.
“Saya dan Azmeer tidak mendiamkan perkara itu malah kami telah tuntut keadilan, bagaimanapun nasib tidak berpihak kepada kami kerana waktu itu tiada undang-undang di Indonesia yang melindungi hak cipta luar.
“Walaupun mereka memberi sedikit pampasan, tapi tetap melakukan kesalahan dengan mencuri hak orang lain,” kongsinya.
Pada Jalil, lagu itu cukup istimewa. Sebab itu dia kecewa apabila lagu Ayam itu diciplak di Indonesia.
“Ia ilham dari Allah S.W.T menerusi kokokkan ayam yang saya dengar ketika berbasikal sekitar pukul tiga pagi pada bulan Ramadan berdekatan kawasan ladang kelapa sawit berlokasi di Seksyen 19, Shah Alam, Selangor.
“Saya ingat lagi sebelum kejadian itu, susah lagu tersebut hendak disiapkan dan makan masa berbulan-bulan sehinggakan lagu lain siap lebih dahulu darinya.
“Saya ingat lagi selepas kejadian ayam berkokok yang entah dari mana datangnya itu, saya ketakutan sehingga tak dapat tidur. Ketika itulah idea datang mencurah-curah dan saya tulis setiap perkataan yang saya fikirkan sebelum menghubungi Azmeer pukul empat pagi untuk memaklumkan saya sedia habiskan rakaman lagu itu pada keesokkan hari,” kongsi Jalil.
Lagu Ayam bukan sekadar ‘sedap’ didengar dan menghiburkan, ia juga terselit banyak nasihat dan kritikan tentang isu semasa yang melanda masyarakat pada ketika itu.
“Lagu itu asalnya ditulis untuk mengkritik tentang kewujudan banyak plaza tol yang membebankan rakyat. Namun lirinya tidak serasi dengan melodi yang ditulis membuatkan kami terpaksa mencari lirik lain yang lebih sesuai.
“Kejadian kokokkan ayam pukul tiga pagi itulah yang menjana idea tentang lirik yang sesuai dinyanyikan dengan melodi lagu itu. Ia mengupas kesengsaraan rakyat, yang ibarat ayam, selalu menjadi korban,” kongsinya.
Saya soal kepada Jalil macam mana dia boleh menjadi penyanyi sedangkan kerjayanya bertitik tolak sebagai penggiat teater dan pelakon yang sudah pun memenangi anugerah ketika itu.
“Azmeer yang menawarkan saya untuk merakamkan album betul-betul selepas saya memenangi Anugerah Pelakon Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular tahun 1992.
“Saya pada awalnya cukup hairan, tak akanlah wajah saya yang saya labelkan pecah rumah ini layak jadi penyanyi kerana penyanyi lelaki pada zaman itu kebanyakannya kacak dan bergaya.
“Tapi saya sahut cabaran dan terima tawaran Azmeer. Dan tak disangka-sangka lagu Ayam itu ‘meledak’ serta membawa tuah. Akhirnya saya sempat merakamkan enam album,” ujarnya.
BAYAR JIRAN 5, 10 SEN UNTUK TENGOK TV
Perbualan kami semakin rancak dan beralih kepada sejarah pembabitan seni pelakon disegani ini.
Jalil sebenarnya anak peneroka yang bercita-cita tinggi untuk menjadi penggiat seni. Malah ketika kecil lagi beliau sudah menunjukkan minat mendalam terhadap dunia lakonan.
“Saya membesar di Felda Cahaya Baharu di Masai Johor Bahru. Tinggal di Felda masa itu, serba serbi kurangnya. Dan keluarga saya bukan orang senang, kami keluarga peneroka, yang melakukan kerja-kerja buka tanah dan tanam getah. Saya ketika kecil sudah bantu ayah tebang hutan dan tanam getah.
“Ada sekitar 400 kediaman di felda itu pada waktu tersebut. Kami tidak ada banyak pilihan untuk berhibur. Televisyen pun hanya keluarga yang betul-betul berduit sahaja yang ada. Jadi kalau mahu tengok TV, pergilah ke rumah jiran dan bayar 5 hingga 10 sen.
“Saya amat suka menonton filem Melayu, antaranya yang dilakonkan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham A. Rahim dan Allahyarham M. Amin. Selalu juga saya mengajuk watak mereka lakonkan,” katanya.
Cerita Jalil, dia anak peneroka yang cukup aktif menyertai aktiviti seni persatuan belia terutama sekali lakonan pentas.
Katanya, dia terinspirasi menggerakkan aktiviti seni di kampungnya setelah menyaksikan sendiri AR Badul, Aziz Jaafar, Ahmad B dan Rahim Omar membuat persembahan teater dan muzik di kampungnya.
“Zaman itu, hiburan di kampung kami terhad kepada persembahan ghazal dan pancaragam. Jadi, penduduk teruja apabila pelakon-pelakon hebat datang ke kampung kami untuk membuat persembahan anjuran unit hiburan felda. Mereka akan bergerak dari satu felda ke felda lain untuk membuat persembahan.
“Waktu itu saya bertanya kepada diri sendiri, kenapa kami tidak cipta sendiri hiburan teater dan muzik seperti mereka lakukan? Dari situ muncullah idea untuk kami yang belia ini belajar silat dan buat pementasan bangsawan di kampung sendiri.
“Selain itu, saya juga mengepalai kumpulan Kugiran Lambaian Mutiara sebelum beralih kepada kumpulan D’ Mutiara yang membawakan lagu-lagu Langgam.
“Kewujudan kami disedari penduduk kampung lain yang kemudian menjemput kami membuat persembahan. Saya masih ingat susahnya mengayuh basikal sejauh enam kilometer ke kampung seberang membawa alatan muzik untuk membuat persembahan,” jelasnya.
NYARIS MAUT TERJERUT TALI
Selepas menamatkan pengajian di tingkatan 5, Jalil atau nama sebenarnya Abdul Jalil Abdul Hamid meneruskan penglibatan dalam dunia teater di Johor meskipun ketika itu, tepatnya tahun 1976, dia bekerja sebagai kerani perkapalan di Pelabuhan Johor.
“Saya aktif menyertai persatuan, turut menyertai aktiviti muzik yang ditubuhkan di Pelabuhan Johor. Ketika itu ramai penyanyi yang bermula di kelab itu termasuklah Haslina Kamsan dan Klthsom Kader.
“Saya pada masa yang sama aktif berlakon teater, tambah pula zaman itu banyak kumpulan drama yang timbul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.
“Pertandingan juga rancak dianjurkan. Kalau dulu, kumpulan -kumpulan ini terlalu hebat bersaing sampai ada yang menggunakan khidmat bomoh untuk menang.
“Antara pengalaman menarik adalah insiden saya hampir maut terjerut tali gantung ketika melakonkan babak gantung diri sempena pertandingan teater antara felda.
“Saya terasa seperti ditolak seseorang membuatkan leher saya terjerut. Nasib baik rakan-rakan sempat menyelamatkan saya waktu itu,” kongsinya.
TAWARAN LAKONAN MENYUSUT
Jalil tidak menyorokkan keadaan sebenar apabila ditanyakan mengenai peluang berlakon sekarang ini.
Terus terang katanya, tawaran berlakon semakin susut dan cuma mengharapkan musim-musim perayaan seperti sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri untuk menerima panggilan.
“Keadaan sekarang tak seperti dulu, sebelum ini dalam sebulan pasti ada tawaran yang datang. Sekarang, dua tiga bulan belum tentu ada yang panggil saya berlakon.
“Rakan-rakan pengarah yang dahulu sering tawarkan saya kerja lakonan sekarang ini juga sudah jarang dipanggil untuk mengarah drama atau filem.
“Contoh seperti Rashid Sibir, yang dulu sering ambil saya berlakon, sekarang ini juga sudah kurang mengarah.
“Apa pun saya percaya rezeki mesti ada kerana Allah sudah janjikan rezeki hambanya tidak putus selagi nyawa dikandung badan,” kongsinya.
Kata Jalil lagi, dia berharap ada sinar dan rezeki untuk bekerja pada bulan Ramadan ini sekali gus pada Hari Raya Aidilfitri depan.
“Selalu, akan ada panggilan pada waktu-waktu begini. Ada yang tawarkan saya berlakon drama dan iklan Ramadan, Hari Raya dan sebagainya.
“Saya cuma mampu berdoa, saya tak boleh paksa orang untuk ambil saya berlakon. Saya reda, rezeki pasti datang,” jelasnya.