PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyumbangkan kira-kira RM10,000 kepada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) hari ini.
Sumbangan tersebut daripada kos guaman diperintahkan oleh mahkamah terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo kepada Razarudin dalam kes saman fitnah pada 10 Januari lalu.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat memberi manfaat kepada anak-anak warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang cemerlang dalam akademik, menghadapi masalah kesihatan dan mereka yang memerlukan bantuan kewangan.
“Alhamdulillah, dana berjumlah RM10,000 telah saya sumbangkan kepada TAWP bagi membantu kebajikan pegawai, anggota dan anak-anak polis.
“Ia merupakan dana yang diperoleh daripada perintah mahkamah terhadap defendan, Papagomo yang diperintahkan membayar kos guaman dan prosiding mahkamah setelah mahkamah mengeluarkan injunksi dalam kes saman fitnah pada 10 Januari lalu.
“Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung anak-anak warga polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 10 Januari lalu, media melaporkan Razarudin berjaya dalam permohonannya untuk menghalang Papagomo daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya, sehingga kes saman diputuskan oleh mahkamah.
Hal ini selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Gan Techiong membenarkan permohonan injunksi inter-parte (secara dua pihak) oleh Razarudin selaku plaintif dalam saman RM3 juta yang difailkannya terhadap Wan Muhammad Azri atas dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Permohonan injunksi yang dipohon plaintif dibenarkan dan defendan (Wan Muhammad Azri) perlu membayar kos kepada plaintif sebanyak RM10,000.
Mahkamah mengeluarkan perintah injunksi bagi melarang dan menghalang Wan Muhammad Azri atau wakilnya daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan oleh mahkamah.
Selain itu, mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi yang melarang dan menghalang defendan atau wakilnya daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan, video dan status serta komen atau sebarang bentuk rujukan kepada plaintif.
Kenyataan, video, status serta komen itu adalah berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi secara bertulis, lisan sama ada secara dalam talian di platform media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas, seperti Telegram dan WhatsApp.
Wan Muhammad Azri juga diperintahkan menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di YouTube, TikTok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember lepas yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.
Dalam saman yang difailkan pada 26 Disember lalu, lepas, Razarudin menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan dan bertulis, ganti rugi am, teruk atau teladan dan khas.
Razarudin turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan sama ada secara sendiri atau ejennya atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata dianggap fitnah selain menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.- UTUSAN