KPM siasat penganjuran program kewangan di sekolah

KPM siasat penganjuran program kewangan di sekolah

FADHLINA Sidek bersama penerima bantuan sumbangan kelengkapan sekolah sempena Program Ceria Ke Sekolah TNB 2025 di Nibong Tebal, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan siasatan teliti berkaitan syarikat yang masuk ke sekolah untuk mengadakan program kewangan buat warga pendidik.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, isu berkenaan diberikan perhatian khusus kerana ia bukan sahaja melibatkan penjawat awam, malah guru-guru.

“Kita tidak pernah bagi kebenaran pun untuk syarikat-syarikat yang ada unsur ‘scam’  ini untuk masuk ke sekolah kita.

“Sebab itu, perkara ini kita sedang siasat dengan teliti bagaimana mereka boleh masuk sampai ke premis-premis KPM dan kita percaya, barangkali mereka masuk (sekolah) dengan kebenaran individu, bukan kebenaran rasmi.

“Kita juga sudah pun menyerahkan perkara ini ke peringkat pihak berkuasa dan diharapkan ia dapat disiasat dengan segera supaya nasib penjawat awam khususnya guru-guru dapat dibela,” katanya selepas menyampaikan bantuan sumbangan kelengkapan sekolah menerusi Program Ceria Ke Sekolah TNB 2025 di Nibong Tebal, di sini hari ini.

Sementara itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, kawalan keselamatan di sekolah ditingkatkan bagi memastikan fasiliti di bawah kementerian itu tidak terdedah kepada sebarang ancaman.

Katanya, beliau meminta kerjasama semua pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbiran sekolah supaya lebih berhati-hati sebelum menerima tawaran penganjuran program.

“Kalau boleh, rujuk ke kementerian untuk kita pastikan sama ada mereka ini adalah orang-orang yang datang dengan hasrat yang betul ataupun punya agenda-agenda lain. 

“Ini mesti diambil tanggungjawab penuh di peringkat sekolah dan apa sahaja perkara yang ditawarkan, kena dilihat dengan bersungguh-sungguh kerana ia melibatkan keselamatan.

“Kita ambil perhatian penuh tentang kes ini dan sentiasa mengingatkan semua guru, pegawai-pegawai kita untuk mengambil langkah berjaga-jaga menangani daripada terjebak dalam aktiviti ini,” katanya.

Bulan lalu, media melaporkan SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan menerusi.

Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi menerusi Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tiga selebriti termasuk seorang artis terkenal yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas, telah dipanggil untuk memberi keterangan melibatkan pinjaman peribadi penjawat awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya