KANGAR: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan untuk memberi perhatian berkenaan isu asyrafke atas guru bagi memastikan golongan pendidik di negara ini dilindungi seterusnya menjalankan tugas hakiki dengan baik dan tanpa gangguan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sebarang tindakan buli siber ke atas guru perlu diambil tindakan segera pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Laporan kepada pihak berkuasa juga perlu dibuat bagi kes yang berada di luar bidang kuasa KPM. Guru terlibat juga akan diberi sokongan psikososial untuk membantu memulihkan emosi,” katanya ketika ditemui selepas Program Peluncuran Jamalullail Digital In School Perlis (JLiDS) di sini semalam.
Program itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan turut dihadiri Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Fadhlina mengulas isu serangan buli siber ke atas seorang guru susulan dakwaan kehilangan seorang murid tahun satu di sebuah sekolah rendah, baru-baru ini.
Ibu kepada murid berkenaan mendakwa guru terlibat tidak membantu mencari anaknya yang didakwa hilang di dalam kawasan sekolah ketika waktu pulang.
Murid berkenaan kemudian telah ditemukan di sekolah tersebut namun ibu murid itu bertindak membuat video siaran langsung menerusi media sosial dengan mendakwa guru terbabit tidak membantu dalam pencarian anaknya itu.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihak sekolah, PPD dan Jabatan Pendidikan negeri (JPN) telah mengambil tindakan segera bagi membantu guru terlibat dan mencari jalan penyelesaian. – UTUSAN