KANGAR: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan untuk memberikan perhatian berkenaan isu buli siber ke atas guru bagi memastikan golongan pendidik di negara ini dapat dilindungi seterusnya menjalankan tugas hakiki dengan baik dan tanpa gangguan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sebarang tindakan buli siber ke atas guru perlu diambil tindakan segera pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Laporan kepada pihak berkuasa juga perlu dibuat bagi kes yang berada di luar bidang kuasa KPM.
“Guru terlibat juga akan diberi sokongan psikososial untuk membantu memulihkan emosi,” katanya ketika ditemui selepas Program Peluncuran Jamalullail Digital In School Perlis (JLiDS) di sini hari ini.
Program itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan turut dihadiri Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Fadhlina mengulas mengenai isu serangan buli siber ke atas seorang guru susulan dakwaan kehilangan seorang murid tahun satu di sebuah sekolah rendah, baru-baru ini.
Ibu kepada murid berkenaan mendakwa guru terlibat tidak membantu mencari anaknya yang didakwa hilang di dalam kawasan sekolah ketika waktu pulang.
Murid berkenaan kemudian telah ditemukan di sekolah tersebut namun ibu murid itu bertindak membuat video siaran langsung menerusi media sosial dengan mendakwa guru terbabit tidak membantu dalam pencarian anaknya itu.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihak sekolah, PPD dan Jabatan Pendidikan negeri (JPN) telah mengambil tindakan segera bagi membantu guru terlibat dan mencari jalan penyelesaian.
“Pihak polis juga telah dirujuk bagi mendapatkan nasihat tindakan yang perlu diambil malah sesi kaunseling telah diatur bagi membantu mereka dari aspek psikososial,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, semua guru turut dinasihatkan agar cakna terhadap perilaku buli siber seperti terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 11 Tahun 2023: Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial KPM.
“Ini penting bagi memastikan mereka mempunyai kesedaran berhubung perkara itu dan dapat membuat aduan segera kepada pihak pentadbir sekolah.
“Ibu bapa dan seluruh masyarakat juga diseru agar sentiasa menghormati profesian keguruan malah jika terdapat sebarang ketidakpuasan hati, perkara itu sepatutnya diselesaikan secara baik,” katanya. – UTUSAN