KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meyangkal dakwaan bahawa kos untuk melatih pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 mahal.
Mohamed Khaled berkata, kos tahunan PLKN 1.0 adalah sebanyak RM565 juta dengan melibatkan 71,300 peserta dan kos tahunan PLKN 2.0 pula RM361 juta untuk 20,000 orang.
Sementara PLKN 3.0, kata beliau, kos tahunannya RM200 juta dengan melibatkan peserta melebihi 100,000 orang.
“PLKN 3.0 bukan sahaja dibuat di kem wataniah melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi ia juga dilaksanakan di universiti-universiti dan politeknik-politeknik, (ini) melibatkan lebih dari 100,000 pelatih.
“Maka kos per pelatih jika PLKN 1.0 adalah RM7,900 seorang, PLKN 2.0 pula RM18,000 untuk seorang. Manakala PLKN 3.0 hanya RM2,000 seorang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mendakwa kos untuk melatih pelatih PLKN 3.0 mahal walaupun tidak lagi memakai kem swasta dan tempoh latihan dikurangkan.- UTUSAN