KOTA BHARU: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memukul ejen perumahan sehingga mengalami kecederaan parah di sebuah tapak pembinaan di Pasir Tumboh, dekat sini, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Syahril Md. Aziz, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah. Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Abdullah Abdul Rahman, 43, menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Perbuatan itu dilakukan di tapak kerja di Taman Desa Wangi, Pasir Tumboh di sini kira-kira pukul 10.45 pagi pada 12 Februari lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Marini Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam,Azhar Ahmad. Terdahulu, Marini mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Azhar dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh mempunyai lima orang anak dan merupakan penyara tunggal keluarga selain perlu menjaga bapanya menghidap angin ahmar.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan. Mahkamah menetapkan 20 Mac ini untuk tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN