Kontraktor didakwa kemuka dokumen sebut harga palsu

Kontraktor didakwa kemuka dokumen sebut harga palsu

AZIZAN Zainal Abidin (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen sebut harga palsu kepada MBS, empat tahun lalu. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen sebut harga palsu bernilai RM49,349 kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS), empat tahun lalu.

Tertuduh, Azizan Zainal Abidin, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut enam pertuduhan, tertuduh telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Sebut Harga Kerja-Kerja Pembaikan Dan Penyelenggaraan Paip di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi oleh tiga syarikat berbeza yang membabitkan jumlah keseluruhan RM49,349.

Ini yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukan pada Oktober dan Mac 2021 di Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Pelancongan, MBS di sini.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 465 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fatin Nur Athirah Zainuddin menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi semua pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah dengan alasan mempunyai 10 anak berusia dua hingga 24 tahun daripada tiga isteri dan menanggung ibu- bapa sudah tua.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula 19 Mac depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya