KKR laksana 11 projek pasang sistem fotovolta suria bangunan kerajaan

KKR laksana 11 projek pasang sistem fotovolta suria bangunan kerajaan

ALEXANDER Nanta Linggi melihat projek solar ketika majlis penyerahan projek pemasangan sistem fotovolta suria (Grid Connected PV System) di Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Kerja Raya melaksanakan sebanyak 11 projek pemasangan bagi sistem fotovolta suria di kawasan bangunan kerajaan di seluruh negara.

Lima projek yang dilaksanakan sejak tahun lalu itu telah siap sepenuhnya seperti bangunan Parlimen, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Wisma Pertahanan dan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Baki enam lagi projek yang bakal disiapkan tahun ini pula antaranya melibatkan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM), kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kesemua projek itu sudah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi yang menyediakan peruntukan dan dana pembinaannya.

Jelas beliau, pemasangan sistem berteknologi hijau itu menjadi dasar kerajaan dalam mengurangkan kos penjimatan elektrik di bangunan kerajaan.

“Semua kementerian diberi peluang untuk memasang sistem solar itu namun permohonan perlu dibuat kepada Kementerian Ekonomi bagi kelulusan lanjut.

“Setakat ini, kita melaksanakan 11 projek termasuk enam lagi yang masih dalam proses pemasangan,” katanya pada majlis penyerahan projek itu di Ibu Pejabat JKR negeri di sini hari ini.

Projek itu diterajui Kementerian Ekonomi selaku pemiliknya manakala Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) JKR dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) bertindak sebagai agensi pelaksana.

Pelaksanaan itu selaras dengan Skim Pemeteran Tenaga Bersih yang diperkenalkan kerajaan bagi menggalakkan penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan memastikan penjimatan penggunaan elektrik.

Skop utama projek itu melibatkan kerja-kerja pemasangan sistem Solar Photovoltaic (PV) di kawasan atas bumbung bangunan dan tempat meletak kereta.

Tambah Alexander, inisiatif projek itu dilihat amat signifikan kerana terbukti berhasil mengurangkan kos elektrik di bangunan kerajaan.

“Sebagai contoh, saya difahamkan bahawa bangunan Parlimen berjaya menjimatkan kos sebanyak RM100,000 sebulan.

“Keadaan itu menunjukkan banyak kesan positif dengan pemasangan sistem berkenaan sekali gus selaras hasrat kerajaan memfokuskan kelestarian alam menerusi teknologi hijau,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya