KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur mengesan kegiatan ketirisan barang kawalan berlaku melibatkan pelbagai peringkat termasuk pemborong, pembungkus hingga ke peruncit.
Kegiatan itu dikesan menerusi Op Tiris 3.0 yang dilaksanakan pada tahun lalu.
Timbalan Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md. Anuar berkata, sebanyak 1,701 pemeriksaan premis perniagaan dijalankan sepanjang tempoh terbabit.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes melibatkan barang kawalan telah dihasilkan dengan nilai rampasan mencecah RM644,078.30 serta tangkapan membabitkan 19 individu.
“Barang kawalan terlibat antaranya ialah diesel, petrol, minyak masak, gula pasir kasar, tepung gandum dan tong gas petroleum cecair (LPG),” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Advokasi Kita Gempur Tahun 2025 Bersama Rakan Strategik Peringkat Kuala Lumpur di Pejabat KPDN Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau berkata, KPDN juga mengesan taktik penyelewengan gas LPG di mana turut melibatkan mereka yang mempunyai lesen sah.
Berikutan itu, tambahnya, kerjasama KPDN Kuala Lumpur dengan agensi penguatkuasaan lain akan dapat membentuk kejayaan yang lebih baik.
“Kita akan bekerjasama berkongsi maklumat kerana aktiviti penyelewengan ini tidak boleh dibiarkan hingga diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Nurul Syarina berkata, sebanyak 10,034 aduan diterima menerusi sistem e-Aduan bagi tahun lalu atas pelbagai isu.
“Sejak Program Advokasi Kita Gempur dilaksanakan Oktober lalu, kita mengesan berlaku peningkatan daripada jumlah aduan diterima berbanding tahun sebelumnya iaitu kira-kira 8,000 aduan.
“Program ini memerluka penglibatan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi, ia turut membabitkan agensi bukan kerajaan seperti industri pembungkus minyak masak, pengusaha stesen minyak, Gerakan Pengguna Siswa serta Skuad Kita Pengguna,” katanya.
19 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Kita Gempur di Kota Kinabalu, Sabah sebagai usaha membanteras dan menangani ketirisan barang kawalan, kenaikan harga serta penipuan dalam talian.- UTUSAN