‘Kita bukan datang bermusim, kerajaan sentiasa bantu rakyat’

‘Kita bukan datang bermusim, kerajaan sentiasa bantu rakyat’

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) menyempurnakan penutupan Program Sentuhan Kasih Desa di Kompleks Sukan Tawau semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan komitmen kerajaan Madani dalam membantu rakyat terutama golongan B40 di Sabah bukan hanya lima tahun sekali.

Beliau berkata, kerajaan Madani sentiasa turun padang membantu rakyat tidak kira ada pilihan raya mahupun tiada pilihan raya, kepedulian kepada rakyat diteruskan setiap masa.

“Komitmen kita jangan datang hanya lima tahun sekali. Kita tidak harus jadi kerajaan yang bermusim. Apabila musim buah, kita jadi kelawar dan apabila musim padi menguning maka, musim menuai sudah sampai.

“Kerajaan bertanggungjawab adalah kerajaan yang mengambil kepedulian kepada rakyat tanpa mengira musim.

“Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengambil peduli kepada rakyat setiap masa tanpa mengira musim,” katanya semasa menutup Program Sentuhan Kasih Desa di Kompleks Sukan, di sini, semalam.

Setakat semalam, dalam Pemukiman Jemaah Menteri sebanyak 174 inisiatif dilakukan kerajaan Madani dan 174 program berkenaan adalah program yang memberi manfaat kepada rakyat.

Walau bagaimanapun, di­sebabkan program terlalu banyak maka, ia tidak sering mendapat liputan yang positif, jadi adalah diharapkan rakyat dapat melihat usaha kerajaan Madani dalam membawa perubahan yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan sebelum ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan Madani melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus memberi keutamaan kepada usaha menambah baik kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

“Kita tahu banyak lagi infrastruktur diperlukan dan kita juga ketahui apabila Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya maka, jalan-jalan perhubungan daripada lebuh raya ke bandar-bandar kecil atau ke kampung-kampung amat diperlukan.

“Maka dengan kerjasama kerajaan negeri, KKDW akan terus perjuangkan agar infrastruktur jalan-jalan perhubungan desa ini terus diberi keutamaan untuk seluruh negeri Sabah. Begitu juga untuk bekalan air luar bandar (BALB) dan bekalan elektrik luar bandar (BELB),” katanya.

Kerajaan Madani katanya, akan terus memperjuangkan bekalan air bersih dan bekalan elektrik ke kawasan pedalaman. Justeru, kaedah penyaluran air graviti atau telaga tiub ke kawasan yang tiada bekalan air dari paip utama akan diteruskan.

Untuk kawasan pedalaman yang tidak mendapat bekalan elektrik daripada sumber grid utama, penyaluran bekalan elektrik melalui sistem solar, akan diteruskan.

“Jika sebelum ini bateri yang menyimpan tenaga elektrik daripada solar hanya bertahan dua tahun, kini KKDW sedang ber­usaha membekalkan bateri yang mempunyai jangka hayat lebih lima tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya