LOS ANGELES: Bintang program realiti dan usahawan, Kim Kardashian pernah menegur bekas suaminya, Kanye West mengenai gaya berpakaian isteri rapper berkenaan, Bianca Censori yang padanya keterlaluan.
Menurut sumber kepada Daily Mail UK, malah Kim sebelum ini memberi amaran kepada Kanye agar mengingatkan Bianca untuk menjaga penampilannya ketika dia berada dekat dengan anak-anaknya iaitu North, 11, Saint, 9, Chicago, 7 dan Psalm, 5.
“Kim memberi peringatan agar Kanye tidak membiarkan Bianca berpakaian tidak senonoh depan anak-anak mereka.
“Dia amat terkejut apabila Kanye membiarkan Bianca berbogel di acara karpet merah sempena anugerah Grammy baru-baru ini,” kata sumber.
Kim dan West pernah bergelar suami isteri selama lapan tahun sebelum keduanya bercerai pada 2021.
Rapper itu kemudian mengahwini Bianca pada tahun 2022 sebelum memutuskan berpisah susulan kontroversi selepas tindakannya menjual kemeja T yang tertera logo Swastika yang dipromosikan ideologi Nazi.
Tindakan West itu mengakibatkan platform perniagaan dalam taliannya, Yeezy, ditutup serta merta.
Pasangan sensasi itu pada masa yang sama dilaporkan sedang dalam proses perceraian.
Sementara itu, jurucakap West, Milo Yiannopoulos menafikan khabar angin perceraian tersebut. Katanya, cerita itu sekadar berita palsu yang disebarkan media.
“Ye (Kanye) dan Bianca sedang meraikan Hari Kekasih di Los Angeles.
“Pengumuman mengenai cerita dalam kain hanya akan dibuat oleh mereka sendiri, bukan khabar angin yang disebarkan media tabloid.
“Saya sendiri kurang pasti, adakah ini kali yang kelima atau keenam media melaporkan perkara yang salah mengenai hubungan mereka,” kongsinya.