SUNGAI SIPUT: Seorang saintis dipercayai warganegara China antara 27 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah kilang memproses sisa buangan elektronik atau e-waste yang didakwa beroperasi secara haram di Kawasan Perusahaan Rimba Panjang di sini dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM1.31 bilion.
Barangan yang dirampas dan disita ialah pelbagai jenis sisa buangan terjadual e-waste, mesin pemprosesan dan pengasingan sisa, jentera, kenderaan dan bangunan yang dipercayai dijadikan makmal penyelidikan.
Kegiatan itu berjaya dibongkar hasil intipan selama lebih sebulan termasuk menggunakan dron terhadap kilang yang terletak berdekatan kawasan industri, kira-kira dua kilomter pendalaman dari jalan utama menghubungkan Ipoh dan Sungai Siput.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, hasil serbuan pada 15 Februari lalu, seramai 27 orang telah ditangkap terdiri daripada dua lelaki warga tempatan, beberapa warga Myanmar dan China serta seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai anak kepada pekerja Myanmar.
Katanya, mereka yang ditahan itu berusia dalam lingkungan dua hingga 60 tahun dan warga asing yang ditahan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen untuk semakan dokumen.
“Satu daripada warga China itu merupakan penjaga makmal yang mungkin membuat kajian dan sebagainya,” katanya kepada pemberita semasa meninjau kilang tersebut bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak di sini hari ini.
Dipercayai, kilang itu mengimport hasil sisa buangan terjadual e-waste dari negara luar seperti Thailand, Oman, Bolivia, India dan Amerika Syarikat yang kemudian akan dibuat proses pengasingan.
Kata Shahrum, kilang di atas tanah berkeluasan 4.8 hektar tersebut dipercayai telah beroperasi sejak lapan bulan lalu dan masih dilakukan pelbagai proses penambahbaikan fasiliti.
“Daripada pemerhatian oleh pasukan serbuan, beg-beg bersaiz besar yang mengandungi sisa e-waste seolah-olah diisytiharkan barangan makanan seperti garam, makanan haiwan dan sebagainya. Apabila kita semak, di dalam itu adalah mengandungi sisa berjadual atau aluminium dan besi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JAS Perak, Muhamad Rizal Ramli, berkata kesalahan yang dilakukan adalah tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Beliau berkata, pihaknya akan membuat senarai terperinci barang-barang rampasan selain sampel e-waste dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis bagi mendapatkan komposisi buangan sebelum tindakan pendakwaan dibuat. – UTUSAN