PUTRAJAYA: Sebuah kilang pemprosesan e-waste yang turut memproses kelongsong peluru secara haram dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, premis itu disiasat di bawah Seksyen 18, kerana menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa mendapat lesen daripada Jabatan Alam Sekitar.
Katanya, tindakan juga diambil di bawah Seksyen 34A, kerana gagal mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling kepada JAS dan Seksyen 34B, kerana menempatkan buangan terjadual tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.
“Dalam hal ini, premis telah diambil tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) ke atas mesin-mesin pengeluaran yang diguna pakai di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan.
“Kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan juga akan disediakan atas semua kesalahan di bawah AKAS 1974,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, polis merampas 50 tan guni mengandungi peluru dan kelongsong yang ingin dileburkan secara tidak sah dalam serbuan ke atas sebuah kilang memproses sisa elektronik atau e-waste di Teluk Panglima Garang di Selangor, dua hari lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, operasi dijalankan hasil risikan pihaknya terhadap kilang memproses sisa e-waste secara haram melibatkan proses peleraian serta pengasingan bahan berbahaya tanpa lesen sah.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, berdasarkan rekod JAS sehingga hujung tahun lalu, sebanyak 44 kilang e-waste yang beroperasi secara haram diambil tindakan dan sebanyak lapan kilang tersebut telah ditutup.
Pada masa sama, katanya, sebanyak 36 kilang sedang dalam tindakan proses perundangan di bawah AKAS 1974.
Kata beliau, bagi mengawal pergerakan masuk e-waste melalui pintu masuk utama negara, Konvensyen Basel telah menetapkan supaya e-waste yang merentasi sempadan hendaklah melalui prosedur Prior Informed Consent (PIC).
“Pengimportan yang gagal mematuhi prosedur ini dikategorikan sebagai illegal shipment di bawah Artikel 9; dan b. Artikel 9 Konvensyen Basel iaiatu negara pengeksport yang tidak mendapat kelulusan dari negara pengimport bagi barang dagangan yang dikategorikan sebagai buangan terjadual perlu mengambil semula barang dagangan tersebut dalam tempoh 30 hari.
“Di bawah Seksyen 34B, AKAS 1974 sebarang penempatan buangan terjadual sama ada di darat atau dalam perairan Malaysia, transit atau membenarkan ditransit e waste tanpa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar adalah menjadi satu kesalahan di bawah AKAS 1974 dan jika disabitkan kesalahan akan dikenakan hukuman denda sebanyak maksimum RM10 juta dan penjara tidak melebihi 5 tahun,” katanya. – UTUSAN