PETALING JAYA: Kilang memproses sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi secara haram di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dekat sini telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) bagi menghentikan pencemaran.
Pengarah Bahagian Bahan Berbahaya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azlan Ahmad berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Katanya, JAS telah melakukan pemantauan berterusan dan telah membuat pemeriksaan ke atas kilang terbabit yang berpotensi menyebabkan berlaku pencemaran.
“Siasatan mendapati premis itu telah melakukan pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Tindakan POK bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku yang seterusnya boleh mengganggu kesihatan awam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tegas Azlan, JAS sedang melengkapkan kertas siasatan bagi tindakan perundangan ke atas premis tersebut.
“Pihak industri hendaklah memainkan peranan penting dalam memastikan operasi kilang atau premis mereka memenuhi semua keperluan perundangan alam sekitar dan tidak melakukan pencemaran alam sekitar.
Media semalam melaporkan serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi elemen Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Pasukan Gerakan Udara (PGU) dengan kerjasama JAS membongkar penemuan kira-kira 50 tan peluru serta kelongsong yang dipercayai akan dileburkan untuk menjadi jongkong.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dilaporkan berkata, Op Hazard tersebut dijalankan hasil risikan pihaknya terhadap kilang memproses sisa e-waste secara haram yang melibatkan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga tanpa lesen yang sah.
Beliau dilaporkan, siasatan awal mendapati kilang tersebut memproses sisa e-waste yang dibawa masuk dari luar negara.
“Selain barang e-waste, kami turut menemukan kira-kira 50 beg peluru termasuk anak peluru serta kelongsong di mana setiap satu dianggar seberat satu tan. Siasatan awal percaya peluru-peluru ini bukan dari Malaysia dan kami sedang kenal pasti dari mana sumbernya,” katanya.- UTUSAN