KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM5.1 bilion tahun lalu, lebih rendah berbanding RM5.9 bilion yang direkodkan pada 2023.
Prestasi itu didorong oleh pendapatan dividen yang stabil, strategi penswastaan yang aktif serta peningkatan nilai ekuiti awam global.
Penyata kewangan Khazanah Nasional Berhad kekal kukuh dengan nisbah Nilai Aset Boleh Tunai (RAV) ke atas hutang pada 3.2 kali.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, prestasi positif itu juga didorong oleh rangka kerja Ekonomi MADANI, yang diterajui oleh Perdana Menteri yang jelas menunjukkan bagaimana pelaburan strategik dan amalan mampan dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif.
“Ekonomi Malaysia juga menunjukkan daya tahan yang kukuh pada 2024, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mempercepat kepada antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.
“Ringgit mengukuh sebanyak 2.7 peratus berbanding dolar AS, dan FBM KLCI mencatatkan keuntungan yang amat baik sebanyak 12.58 peratus.
“Persekitaran ekonomi yang kukuh, dengan pendekatan pelaburan berdisiplin Khazanah, menyumbang kepada prestasi yang kukuh pada tahun lalu, dengan Berwajaran Masa (TWRR) NAV mencapai 24.6 peratus, peningkatan ketara berbanding 5.7 peratus pada 2023,” katanya semasa taklimat media Kajian Tahunan Khazanah (KAR) 2025,di sini semalam.
Bagaimanapun, Nilai Aset Bersih (NAV) Khazanah pada 2024 meningkat kepada RM103.6 bilion berbanding RM84.8 bilion pada 2023, menunjukkan peningkatan ketara sebanyak RM18.8 bilion.
Dari perspektif keseluruhan portfolio Khazanah, pertumbuhan NAV keseluruhan meningkat daripada RM33 bilion pada 2004 kepada RM104 bilion pada 2024, mencapai kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 5.9 peratus.
Pertumbuhan itu selaras dengan mandat Khazanah untuk menjana pulangan mampan bagi negara sambil meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia.
Amirul Feisal berkata, Khazanah berhasrat untuk mengekalkan momentum yang kukuh dari 2024 dan memastikan pelaksanaan yang berjaya dalam usaha penciptaan nilai kumpulan.
Amirul Feisal berkata, Khazanah berhasrat untuk mengekalkan momentum yang kukuh dari 2024 dan memastikan pelaksanaan yang berjaya dalam usaha penciptaan nilai kumpulan.
“Ini melalui strategi jangka panjang kami untuk memajukan Malaysia berasaskan pendekatan ‘A Nation That Creates’ dan membina Malaysia yang lebih baik, selaras dengan rukun Ekonomi MADANI iaitu Daya Cipta.
“Ini termasuk kerjasama dengan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) lain dan memanfaatkan perkongsian serta inovasi pemangkin yang akan meningkatkan daya saing dan produktiviti negara,” katanya. – UTUSAN