PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semangat saling menghormati dan menerima perbedaan harus menjadi tunjang yang memungkinkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Perdana Menteri berkata, malah, keunikan budaya dan amalan yang berbeda harus diraikan sebagai kekuatan, bukan pemisah dan sebagai elemen yang memecah.
Katanya, ciri ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan warisan serta nilai-nilai murni dan dihormati tidak hanya di rantau ini, malah seantero dunia.
“Negara tidak akan aman dan maju sekiranya titik perbedaan diperbesar dan prinsip kerukunan dikesempingkan.
“Walhasil, setiap perayaan yang berlainan dan unik seperti Thaipusam seharusnya difahami oleh setiap rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan yang menjunjung prinsip berdamping (coexistence),” katanya dalam perutusan sempena sambutan perayaan Thaipusam di sini malam ini.
Anwar berkata, Thaipusam bukan sekadar sebuah perayaan, tetapi menjadi simbol ketabahan, keazaman dan pengorbanan dalam menempuh ujian kehidupan bagi penganut Hindu.
Katanya, ia turut mencerminkan kekuatan dalaman dan disiplin mereka dalam mendepani tantangan.
Tidak hanya itu, jelasnya, Thaipusam turut menyerlahkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian dalam konteks kenegaraan.
“Ia menjadi bukti bagaimana masyarakat boleh bersatu dalam suasana yang penuh dengan rasa hormat, kebersamaan dan kekeluargaan. Tatkala ribuan penganut Hindu berkumpul untuk menunaikan nazar dan menzahirkan pengorbanan, kita saksikan satu manifestasi kekuatan yang kolektif; yakni cerminan masyarakat yang berdiri teguh dalam nilai-nilai kemanusiaan, kasih sayang, dan saling memahami,” katanya.
Anwar berkata, Saya sering beranggapan bahawa rakyat Malaysia adalah rakyat yang bertuah kerana dikurniakan kepelbagaian untuk dijadikan ruang untuk kita saling mengenali dan berkasih sayang, bukan menyebar serta memicu kebencian.
“Justeru, mari bersama membenih semangat kebersamaan, menghargai kepelbagaian, dan memperkukuh kasih sayang. Hanya dengan memahami dan menghormati satu sama lain, kita dapat menjamin sebuah negara yang bertamadun, bermaruah dan makmur buat semua,” katanya. – UTUSAN