Ketua pemuda lalat, agak-agak ulama UMNO apa? - Pas 

Ketua pemuda lalat, agak-agak ulama UMNO apa? – Pas 

AHMAD Yahaya ketika berucap pada majlis Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia 1.0 di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dewan Ulama Pas kini tertanya-tanya sama ada teguran yang diberikan oleh Majlis Ulama UMNO terhadap menteri bukan Islam dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mendapat perhatian. 

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya, berkata ada menteri tertentu yang menganggap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh, sebagai “lalat” apabila beliau lantang mempertahankan kesucian Islam.

“Hari ini (semalam), Majlis Ulama UMNO mengadakan mesyuarat dan memberi peringatan kepada menteri-menteri bukan Islam dalam kerajaan PH supaya lebih berhati-hati ketika mengulas isu berkaitan Islam.

“Namun, apakah menteri-menteri ini akan mendengar teguran tersebut? Jika Ketua Pemuda UMNO sahaja dianggap ‘lalat’, bagaimana pula dengan ulama UMNO? Adakah mereka akan mengambil peduli dengan nasihat yang diberikan?” ujarnya ketika berucap pada majlis Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia 1.0 di Kompleks Pas Kedah.

Dalam mesyuarat tersebut, Majlis Ulama UMNO menasihatkan menteri bukan Islam supaya lebih berhati-hati agar tidak memberi persepsi negatif terhadap Islam yang boleh disalahgunakan pihak tertentu untuk memprovokasi dan mengancam agama Islam.

Ahmad Yahaya turut mengingatkan ulama UMNO agar tidak terlalu berharap dengan nasihat-nasihat yang diberikan kerana banyak pemimpin yang kini merasa sudah cukup berkuasa dan tidak lagi menghargai panduan tersebut.

“Bayangkan, sebuah parti Melayu yang pernah memerintah negara lama, yang pernah memerintah Kedah sehingga Pas hanya menang satu kerusi di Bukit Raya pada 1990, kini seolah-olah dipandang rendah. Sebelum 2008, Pas hampir pasti kalah di Kedah. UMNO ketika itu sangat kukuh dan kuat.

“Tetapi kini, pemimpin UMNO yang bersekutu dengan PH dipandang seperti lalat. Begitu hina mereka menganggap pemimpin UMNO, tetapi mereka masih boleh duduk bersama dalam kerajaan,” katanya.

Isu ini timbul baru-baru ini berikutan Majlis Ulama UMNO menegur menteri bukan Islam dalam kerajaan PH lebih berhati-hati dalam mengulas isu berkaitan Islam. 

Teguran ini mendapat perhatian apabila beberapa kenyataan dan tindakan daripada menteri bukan Islam dianggap kurang sensitif terhadap agama Islam. 

Keadaan menjadi semakin tegang apabila beberapa pemimpin, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh, dikritik dan dipandang rendah oleh pihak tertentu dalam kerajaan PH apabila mereka mempertahankan kesucian Islam. 

Ini menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana teguran ulama akan diambil kira oleh menteri-menteri tersebut, terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan sensitiviti agama.

Pada majlis perhimpunan itu, Ahmad turut menyeru ahli-ahli UMNO untuk bersama Pas membangkitkan semangat ummah bagi mempertahankan kesucian agama Islam untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Beliau menegaskan bahawa perpaduan umat Islam, terutamanya orang Melayu, perlu diperkuatkan kerana perpecahan sesama Islam hanya akan menyebabkan mereka kehilangan kuasa dan mengancam kestabilan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya