Kebiasaannya orang berpendapat, seorang wanita yang lemah lembut tutur kata serta sopan peribadinya hanya suka melakukan aktiviti yang sesuai dengan jiwa femininnya.
Namun, tidak ramai yang tahu ada saja wanita yang suka mencabar naluri kewanitaannya untuk melakukan aktiviti luar daripada kemampuannya.
Seperti pemilik nama lengkap, Nur Amirah Filzah Badioezaman, dia mendedahkan dirinya suka melakukan aktiviti yang melibatkan ketinggian dan kelajuan yang menguji tahap adrenalin.
“Saya seseorang yang suka buat aktiviti lasak. Dulu saya di sekolah saya wakil sekolah untuk hoki dan menari.
“Saya suka cuba sesuatu yang baru yang mencabar adrenalin saya. Kalau aktiviti ringan itu membosankan. Dia perlu laju dan berlaku sekelip mata,” katanya kepada Pancaindera.
Lebih menarik lagi, pelakon yang berusia 32 tahun itu suka meneroka taman tema ekstrem di luar negara demi mengisi kekosongan masa ketika melancong di destinasi yang dikunjungi.
“Kalau saya pergi melancong, saya akan selitkan dan cari taman tema ekstrem dalam agenda percutian. Saya suka cuba buat benda-benda macam ini bila bercuti.
“Antara aktiviti yang saya pernah buat seperti sky diving, paragliding, bungee jump. Macam sebelum ini saya ada kerja di Jepun, saya cari rollercoaster paling laju di sana. Saya seronok buat benda macam tu,” jelasnya.
Peribadi yang lemah lembut tidak menjadi penghalang untuk pelakon drama bersiri Gadis Masa ini untuk melakukan aktiviti mencabar sedemikian.
Katanya, aktiviti-aktiviti lasak yang melibatkan kelajuan dan ketinggian itu secara tidak langsung membantunya untuk melampiaskan penat lelah bekerja sebagai seorang selebriti.
“Saya rasa puas hati bila dapat lepaskan beban kerja saya melalui aktiviti seperti itu. Saya rasa sebab dunia pekerjaan saya sangat memenatkan secara fizikal, emosi dan mental. Jadi, bila saya buat semua itu saya rasa dapat jadi diri saya sendiri,” jelasnya.
Kerap melakukan aktiviti tersebut ketika melancong ke luar negara, Mira bagaimanapun menafikan bahawa hobinya itu mahal dari segi perbelanjaannya.
Menurut Mira, dia lebih seronok meneroka aktiviti lasak di luar negara kerana taman tema yang sedia ada di sini tidak begitu mencabar dan agak terhad.
“Hobi saya mahal? Saya tidak rasa ini satu hobi yang mahal. Cuma, saya suka buat di luar negara kerana di sini tidak banyak permainan atau aktiviti yang ekstrem seperti itu. Lagipun di Malaysia, saya tidak sempat buat hobi ini kerana bekerja.
“Selain permainan ekstrem saya suka bersukan. Saya seorang yang sangat competitive. Bila saya sudah cuba sesuatu yang baru, saya akan terus cuba sampai mahir,” katanya lagi.
Ditanya apa lagi aktiviti lasak yang pernah dicuba, Mira memberitahu, dia teringin untuk melakukan aktiviti water-rafting dalam berpasukan.
Menurut Mira, dia sangat teruja untuk melakukan itu demi melihat semangat sepasukan bersama ahli kumpulan yang menyertai aktiviti tersebut.
“Saya teringin hendak buat water-rafting. Tetapi kebanyakan pekerja saya tidak mahu. Apa yang pasti, untuk buat aktiviti ektrem ini perlukan pasukan yang sekepala dan beramai-ramai. Barulah nampak semangat sepasukan.
“Saya lebih suka buat aktiviti dengan rakan-rakan. Lain perasaan dia. Semua aktiviti boleh saling melengkapi. Saya hendak buat dengan suami, tetapi dia terlalu tinggi,” terangnya.