Ketika isu saya panas, banyak jenama berlalu pergi - Che Ta - Utusan Malaysia

Ketika isu saya panas, banyak jenama berlalu pergi – Che Ta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kontroversi hutang membabitkan pelakon, Rozita Che Wan, 52, telah meletakkannya dalam situasi sukar.

Jelas Rozita yang mesra disapa Che Ta, isu tersebut telah membuatkannya kehilangan kontrak sebagai duta dengan beberapa jenama sebelum ini.

Bagaimanapun, pelakon Sifu & Tongga itu bersyukur jenama fesyen terkemuka, Ariani, menawarkannya menjadi wajah untuk koleksi hijab premium, Ariani Luxe.

“Saya harapkan kolaborasi ini akan memberi impak kepada Ariani.

“Rezeki untuk saya. Di saat isu (hutang) sedang panas, banyak jenama yang sebelum ini sudah setuju, tapi kemudian berlalu.

“Tapi Ariani memberikan peluang kepada saya untuk berada di sini,” katanya.

Che Ta ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan pertunjukan fesyen Hikayat Ariani Karya Seindah Busana di Kuala Lumpur Convention Centre, hari ini.

Mengulas mengenai perlantikan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ariani, Datin Seri Farah Haryani berkata, keputusan memilih Che Ta adalah bedasarkan kepada komitmen sepanjang pengalaman 18 tahun bekerjasama.

“Memang sebelum ini Ariani Luxe tiada duta dan kami lantik Che Ta kerana dia mempunyai pakej yang lengkap.

“Kami sudah bekerjasama sangat lama iaitu sejak 2007. Dia selalu terlibat dalam iklan Jakel dan Ariani sejak dulu lagi.

“Che Ta sangat komited, tidak berkira dan baik.

“Saya yakin ini adalah pilihan yang tepat untuk melantiknya sebagai duta Ariani Luxe.,” katanya.

Ditanya adakah perlantikan ini bertujuan untuk membantu Che Ta yang terpalit isu hutang, Farah bagaimanapun menafikan perkara itu.

“Saya tiada komen mengenai itu kerana bagi saya semua orang ditimpa masalah. Ariani juga ada masalah.

“Saya kira ini ujian. Saya percaya Che Ta boleh memantapkan lagi jenama Ariani Luxe,” tambahnya.

Terdahulu, pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) mendedahkan Che Ta gagal melunaskan pinjaman hampir RM1 juta menerusi syarikatnya, RCW World Wide Sdn. Bhd.

Bagaimanapun, Che Ta dikatakan telah melunaskan hutang tersebut pada 29 Disember lalu.

Dalam perkembangan lain, koleksi Aidilfitri kali ini turut menampilkan 300 pilihan hijab dan 300,000 baju raya sempena Aidilfitri.

Majlis pertunjukan itu diserikan dengan persembahan beberapa penyanyi popular tanah air, antaranya Dato’ Amy Search, Dato’ Awie, Ziana Zain dan Dayang Nurfaizah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN