PETALING JAYA: Keadaan kesihatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kini lebih baik selepas menjalani rawatan konservatif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berkesempatan menghadap Seri Paduka sebanyak dua kali dalam lawatan rasmi ke Bahrain.
“Alhamdulillah, rawatan konservatif di peringkat awal itu nampak berhasil walaupun harus dipantau.
“Kesihatan Seri Paduka Baginda jauh lebih baik dan oleh itu sebelum meneruskan rawatan berikutnya Seri Paduka Baginda telah putuskan untuk pulang dahulu esok dan insya-Allah meneruskan rawatan jika perlu.
“Tetapi kita bersyukur kerana keadaan Seri Paduka Baginda jauh lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri, Salman Hamad Al Khalifa.
Kelmarin, menerusi catatan dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Perdana Menteri dilaporkan telah mempersembahkan perkara-perkara berkaitan perkembangan semasa negara, selain bertanyakan khabar kesihatan Seri Paduka.
Sehari sebelumnya, Istana Negara memaklumkan Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan musculoskeletal (otot dan tulang) di luar negara dan dijangka berangkat pulang ke Malaysia, hari ini.
Penyakit itu berlaku akibat latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif Sultan Ibrahim yang gemar bersukan sewaktu muda, terutama bermain polo.
Pada 7 Februari lalu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, Seri Paduka berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.
Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan pelantikan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Anwar berkata, ia telah disembah maklum kepada Sultan Ibrahim.
“Tetapi seperti mana yang saudara tahu, sehingga hal ini disahkan, (baru) kita akan umumkan,” katanya.
Sebelum ini, Anwar dilapor berkata, kerajaan telah mempunyai calon bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang telah tamat perkhidmatan bagi tempoh dua tahun sebagai Duta Besar Malaysia ke AS. – UTUSAN