Kesesakan Tambak Johor akan dikurangkan 70 peratus

Kesesakan Tambak Johor akan dikurangkan 70 peratus

MAKHZAN Mahyuddin (dua dari kiri) melihat operasi kaunter pemeriksaan pasport pada waktu puncak di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, BSI Johor Bahru semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan berusaha me­ngurangkan sehingga 70 peratus tempoh kesesakan di Tambak Johor, khususnya pada waktu puncak sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Ne­geri, Datuk Makhzan Mahyuddin berkata, pelbagai inisiatif diambil sejak 2019 untuk mengatasi masalah lama berke­naan.

Katanya, ketika ini 58 peratus daripada 50 inisiatif yang dirancang menerusi empat fasa telah disiapkan sepenuhnya.

“Sebelum ini, waktu kesesakan puncak bermula antara pukul 3.45 hingga 4.30 pagi, namun kini kesesakan berganjak ke pukul 6.30 pagi. Jika sebelum ini tempoh diambil untuk melepasi prosedur di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) antara satu hingga tiga jam, tetapi kini tidak sampai satu jam.

“Justeru, kita yakin apabila lebih banyak inisiatif termasuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang selesai, tempoh diperlukan akan lebih singkat,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke Tambak Johor, di sini semalam.

Makhzan berkata, antara fokus utama pihaknya adalah untuk menambah kaunter yang menggunakan aplikasi kod respons pantas (QR) melibatkan semua mod pengangkutan, iaitu motosikal, bas dan kereta.

“Ketika ini lapan kaunter keluar dan lapan kaunter masuk motosikal telah menggunakan kod QR selain dua kaun­ter bagi bas. Oleh itu, kita mahu tingkatkan penggunaan sistem itu melibatkan semua kaunter.

“Perkara ini akan diperhalusi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Kuala Lumpur pada 3 Mac ini,” katanya.

Antara 29 inisiatif telah disiapkan termasuk penutupan kaunter tambah nilai Touch n Go, penggantian mesin pengimbas Kastam Diraja Malaysia, laluan kontra di laluan masuk, penambahbaikan sistem elektrik Bangunan Sultan Ibrahim (BSI) serta pembayaran tol dan Permit Masuk Kenderaan (VEP) di lokasi sama.

CIQ BSI merekodkan jumlah pergerakan harian pelawat tertinggi, iaitu seramai 375,828 orang pada 20 Disember tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya