Kes tuntutan Sulu: Keputusan Mahkamah Sepanyol beri kesan

Kes tuntutan Sulu: Keputusan Mahkamah Sepanyol beri kesan

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Sepanyol mengenai kes tuntutan Sulu dilihat memberi kesan positif terhadap kedudukan Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara di peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, meskipun perkara itu tidak mengikat keputusan mahkamah di negara lain, ia tetap memberi implikasi besar dalam mengukuhkan hujah Malaysia di peringkat global.

Katanya, keputusan Mah­kamah Sepanyol yang membatalkan pelantikan Gonzalo Stampa sebagai arbitrator dan tindakan diambil oleh individu tersebut memberikan isyarat jelas kepada negara lain.

“Keputusan ini membolehkan Malaysia untuk menguatkan hujahan dan pendirian dalam prosiding mahkamah di negara-negara lain seperti Perancis dan Luxembourg dengan merujuk kepada keputusan terkini dalam mana-mana prosiding yang sedang atau akan berlangsung di luar Sepanyol.

“Ia juga akan membawa Malaysia lebih dekat kepada penghujung kes Sulu dan keputusan terbaru ini akan menjadi satu lagi halangan yang menggugat strategi undang-undang tuntutan pihak Sulu ke atas Malaysia di Sepanyol,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Malaysia mengalu-alukan keputusan Mahkamah Sepanyol yang mengesahkan keputusannya pada tiga tahun lalu yang membatalkan pelantikan Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara sekali gus menolak cubaan pihak penuntut Sulu untuk membatalkan keputusan tersebut.

Dalam kenyataan Sekretariat Khas Menangani Isu Tuntutan Pihak yang mendakwa Waris Kesultanan Sulu, pengesahan keputusan di Mahkamah Tinggi Madrid pada 14 Februari lalu itu membuktikan ketegasan dasar Kerajaan Madani untuk mempertahankan Malaysia di setiap Mahkamah dan bidang kuasa.

Katanya, langkah ini dengan menggunakan segala kuasa, hak dan sumber yang ada bagi memastikan kes penipuan pihak penuntut Sulu ini ditamatkan serta memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan, dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN