DUNGUN: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan kes seorang wanita yang berdepan dengan tuduhan melanggar tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, hingga menyebabkan kematian, Oktober tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Majistret Nur Amira Fatihah Osman mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman untuk memindahkan kes yang dihadapi tertuduh, Norizan Ismail, 50.
“Kes pada hari ini adalah ditetapkan bagi izin pendakwaan. Izin untuk kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi telah pun diperoleh. Pihak pendakwaan kemukakan tiga izin di bawah Seksyen 177A(1) Kanun Prosedur Jenayah untuk ketiga-tiga kes. Pihak pendakwaan memohon memindahkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk bicara,” kata Nur Azhani ketika permohonannya.
Peguam yang mewakili tertuduh, Norhabibah Norulazhar, tidak membantah permohonan itu.
Pada 15 Oktober lalu, Norizan didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM Dungun iaitu Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anuar Jamaluddin masing-masing berusia 20 tahun ketika itu.
Nur Amirah Fatihah memutuskan supaya ibu kepada tiga anak itu dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani rawatan psikiatri. Selepas tiga bulan tertuduh menjalani rawatan itu, Nur Amirah Fatihah pada 14 Januari lalu kemudian memutuskan Norizan layak dibicarakan berdasarkan laporan psikiatri tertuduh.
Dalam kejadian pada 9 Oktober lepas, Norizan yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dikatakan merempuh empat pelajar UiTM hingga menyebabkan tiga daripada pelajar itu maut manakala seorang lagi, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 21,cedera.
Selain tiga pertuduhan itu, Norizan sebelum ini turut dituduh di bawah Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana cubaan membunuh hingga menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Ammar Danish. – UTUSAN