Kes influenza menurun bukan menaik - KKM - Utusan Malaysia

Kes influenza menurun bukan menaik – KKM

KEMENTERIAN KESIHATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan menafikan laporan bahawa berlaku peningkatan mendadak kes influenza di negara ini.

Menurut kementerian itu, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Rantau Pasifik Barat (WPRO), kadar positif sampel influenza yang diuji ialah 26.19 peratus pada Minggu Epidemiologi 1 Tahun dan 21.97 peratus pada Minggu Epidemiologi 4 tahun ini.

Katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak empat peratus.

“Malaysia tidak menunjukkan trend peningkatan kes influenza dan tidak merekodkan sebarang kes selesema burung dalam kalangan manusia. 

“Berdasarkan laporan mingguan WHO WPRO pada 31 Januari juga, tiada kes selesema burung baharu dalam kalangan manusia termasuk di Jepun, manakala kes terakhir yang direkodkan di rantau ini pada 1 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kementerian Kesihatan berkata, berdasarkan pemantauan, kadar konsultasi influenza-like illness (ILI) di Klinik Kesihatan pada Minggu Epidemiologi 4 juga 4.67 peratus iaitu penurunan sebanyak 0.14 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Katanya, dalam tempoh sama, kadar kemasukan kes jangkitan pernafasan akut yang teruk atau severe acute respiratory infection (SARI) di hospital adalah 7.26 peratus juga menunjukkan penurunan sebanyak 0.16 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“KKM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa menjalankan pemantauan aktif dan survelan terhadap ladang ternakan, populasi burung liar, serta pasar basah bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan. 

“Ini bagi memastikan Malaysia kekal bebas daripada selesema burung dengan kawalan biosekuriti dan langkah pencegahan yang ketat,” katanya.

Pada masa sama, KKM juga menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan dan mendapatkan vaksinasi influenza secara tahunan

“Sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan; mengamalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin; memakai pelitup muka terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan atau yang bergejala; serta mendapatkan vaksinasi influenza secara tahunan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan ataupun swasta sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema yang berpanjangan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya