Kertuk semakin sukar ditemukan

Kertuk semakin sukar ditemukan

OTHMAN Yahya menunjukkan cara mengetuk kertuk bagi menghasilkan bunyi di Kampung Telaga Teluk Balai, Hulu Terengganu. – UTUSAN/ NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang warga emas di Kampung Telaga Teluk Balai, di sini masih menyimpan alatan berbunyi lama diperbuat daripada kayu iaitu kertuk berusia lebih 100 tahun kerana menyedari ia semakin sukar ditemukan dan mempu­nyai nilai estetika.

Othman Yahya, 67, berkata, kertuk sepanjang hampir satu meter itu diperolehnya dari sebuah surau atau dipanggil balai di kampung tersebut setelah alatan berkenaan tidak lagi digunakan.

Katanya, dia mula menyim­pan kertuk itu kira-kira 30 tahun lalu kerana rasa sayang memandangkan ia mempunyai elemen nilai estetika, kenangan dan sejarah tersendiri.

“Kampung ini mempunyai empat teluk (zon) utama iaitu Teluk Masjid, Teluk Balai, Teluk Rusa serta Teluk Padang dan setiap teluk ini memiliki balai (surau) untuk solat jemaah.

“Orang dulu-dulu memukul kertuk yang digantung di balai untuk maklumkan kepada orang kampung masuknya waktu solat. Kalau di masjid guna beduk. Ekoran perubahan zaman dan perkembangan teknologi, pembesar suara telah mengambil alih fungsi kertuk. Jadi saya ambil keputusan untuk simpan kertuk yang pernah digunakan di balai Teluk Balai ini,” katanya ketika ditemui.

Menurut Othman, kertuk yang berada dalam simpanannya itu diperbuat daripada kayu merawan dan masih lagi berfungsi menghasilkan bunyi dengan baik walaupun pemukul sebenar telah tiada.

Katanya, bunyi kertuk boleh menjangkau jarak sejauh 100 hingga 150 meter persegi dan alatan itu juga suatu masa dahulu turut berfungsi sebagai makluman ada kecemasan di kampung.

“Kertuk ini diperbuat daripada batang kayu keras dan ditebuk lubang berbentuk bujur bagi hasilkan bunyi lebih nyaring dan gemersik. Setiap jenis kayu pula hasilkan bunyi berbeza.

“Walaupun peranan kertuk dalam kehidupan masyarakat hari ini sudah tiada tetapi saya akan tetap simpan selagi hayat dikandung badan sebagai kenangan.

“Saya juga tidak sangka ia turut menarik perhatian orang kerana alatan ini sukar ditemukan selain generasi muda tidak lagi mengenalinya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya