Kerjasama Malaysia-Turkiye tidak harus ketepikan sektor PKS - Anwar

Kerjasama Malaysia-Turkiye tidak harus ketepikan sektor PKS – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Selain memberi tumpuan utama kepada sektor ekonomi utama, kerjasama Malaysia dan Turkiye juga tidak harus mengenepikan sektor perusahan kecil dan sederhana (PKS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PKS merupakan tunjang utama dalam pertumbuhan ekonomi di negara ini.

Justeru, katanya, beliau mahu Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan The Foreign Economic Relations Board of Turkey ( DEIK) memberi tumpuan kepada sektor itu.

“Seperti sedia maklum bahawa kekuatan ekonomi Malaysia banyak bergantung kepada PKS dan sektor ini mempunyai potensi besar untuk berkembang.

“Kita (Malaysia-Turkiye) perlu menyediakan infrastruktur yang membolehkan mereka (PKS) berkembang dan seterusnya menjadi lebih inovatif serta menikmati manfaat ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye di Pusat  Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Terdahulu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan turut menyampaikan ucaptama pada forum sama.

Katanya, walaupun perbincangan sering tertumpu pada syarikat multinasional dan konglomerat, kejayaan sebenar bergantung pada bagaimana kerjasama ini menyokong PKS dalam ekosistem rantaian bekalan yang efektif.

Anwar berkata, beliau juga ingin menekan bahawa Erdogan telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan dan memperkukuhkan rancangan ini.

Dalam pada itu, katanya, beliau berpandangan bahawa sasaran AS$10 bilion nilai dagangan antara Malaysia dan Turkiye dapat dicapai lebih awal berbanding tempoh lima tahun ditetapkan.

“Keinginan kita adalah untuk mencapai pertumbuhan sekurang-kurangnya 20 peratus setiap tahun. Kita sepatutnya dapat mencapainya lebih awal berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, hubungan bilateral dan diplomatik bukan hanya berasaskan ekonomi semata-mata, tetapi juga diperkukuhkan melalui persahabatan dan kepercayaan.

Malah, katanya, Malaysia dan Turkiye berkongsi aspirasi yang sama dengan blok ASEAN dan yakin bahawa rantau ini bukan sahaja stabil tetapi juga sedang berkembang pesat sebagai kuasa ekonomi global.

“Kerjasama antara Turki dan ASEAN sangat berharga kerana ia dibina atas asas kepercayaan dan persahabatan antara pemimpin rantau ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya