POKOK SENA: Setelah sebulan kehilangan Siti Rohani Saad, perasaan rindu terhadap wanita itu semakin mendalam khususnya menjelang bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.
Kakak Siti Rohani, Naziroh Saad, 51, berkata, mereka masih mengenang memori indah bersama adik bongsunya itu yang masih belum ditemukan sehingga kini.
Kata Naziroh, menjelang Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi kerinduan terhadap adik bongsunya itu semakin mendalam.
“Kalau bulan puasa, Siti Rohani yang paling aktif. Dia yang akan masak pelbagai menu untuk kami semua. Dia yang akan beli barang dapur semua. Siti Rohani seorang yang ringan tulang.
“Bila dia sudah tidak ada memang kami rindukan dia. Tiap-tiap hari waktu petang paling terasa kerana waktu itu dia akan selalu ajak saya jalan-jalan naik motosikal ronda kampung atau mengail ikan,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Lanjut, Bukit Lada di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan kehilangan Siti Rohani, 37, selepas motosikal miliknya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris, pada 8 November lepas. Dia dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai dekat sini.
Pada 13 Januari lepas, satu mayat wanita ditemukan oleh orang awam dalam keadaan mereput di tebing Sungai Kedah berdekatan Alor Mengkudu, Alor Setar yang dikaitkan oleh pihak berkuasa dengan kehilangan Siti Rohani.
Menurut sumber, keluarga Siti Rohani diarahkan membuat pengecaman ke atas mayat tersebut berdasarkan penemuan satu telefon dalam poket seluar mayat itu dipercayai miliknya.
Dalam pada itu, Naziroh berkata, pihak keluarga berharap penantian mereka untuk membawa pulang jasadnya segera berakhir.
Naziroh berkata, mereka sekeluarga sabar menanti keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat yang ditemui itu.
“Kami berharap untuk membawa pulang ‘Siti Rohani’ supaya dapat dikebumikan di kampung ini sekiranya betul yang dijumpai itu adalah dia. Kini sudah masuk sebulan sejak kejadian itu dan hampir empat bulan kehilangan Siti Rohani.
“Namun kami berserah kepada pihak berkuasa yang mengurus dan menyiasat perkara ini, mereka lebih tahu apa yang harus dilakukan. Mungkin siasatan masih dijalankan. Jadi kami sekeluarga hanya mampu berdoa kepada Allah SWT supaya penantian ini berakhir segera,” katanya.
Menurut sumber, keluarga Siti Rohani diarahkan membuat pengecaman ke atas mayat tersebut berdasarkan penemuan satu telefon dalam poket seluar mayat itu dipercayai miliknya. – UTUSAN