KLANG: Empat individu, termasuk tiga anggota polis cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Kia Sorento dan sebuah lori polis di Jalan Kampung Bukit Cherakah, Kapar, di sini, awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Muktar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut daripada orang awam pukul 6.40 pagi.
“Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar telah terlibat dalam operasi menyelamat serta memadamkan kebakaran kereta berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kereta Kia Sorento tersebut terbakar 90 peratus setelah bertembung dengan lori itu,” katanya.
Ahmad Muklis berkata, tiga anggota polis cedera ringan manakala pemandu kereta terbabit patah kaki.
Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital berdekatan oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Difahamkan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara akan mengeluarkan kenyataan berhubung kemalangan itu. – UTUSAN