Kerajaan teruskan subsidi penerbangan musim perayaan - Loke

Kerajaan teruskan subsidi penerbangan musim perayaan – Loke

ANTHONY Loke pada Pelancaran Raya Tanpa Sempadan Dengan Tambang Tetap AirAsia di Sepang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi bagi pembelian tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan semasa musim perayaan tahun ini dan tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan terus komited memastikan perjalanan udara kekal mampu milik dan mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia khususnya pada musim perayaan.

Beliau berkata, inisiatif seperti subsidi tambang siling RM499 serta program FLYsiswa adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan mengurangkan beban kewangan penumpang khususnya mereka yang terbang antara Semenanjung, Sabah serta Sarawak.

“Inisiatif itu akan dipertingkatkan dengan subsidi tiket penerbangan sehala bagi setiap penumpang di laluan domestik yang menghubungkan Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tiket berharga lebih RM499.

“Harga itu tidak termasuk cukai dan yuran selain harga maksimum RM499 adalah pengurangan daripada ambang sebelumnya iaitu RM599.

“Dengan kerjasama rakan industri seperti AirAsia, kerajaan akan terus mengutamakan kebajikan rakyat dan memastikan tambang penerbangan berpatutan,” katanya pada Pelancaran Raya Tanpa Sempadan Dengan Tambang Tetap di sini hari ini.

Inisiatif sempena Aidilfitri itu, AirAsia menyediakan lebih 16,000 tempat duduk melalui lebih 90 penerbangan lewat malam dengan tambang tetap antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak pada harga RM328 dan RM388 sehala beberapa destinasi di negeri berkenaan.

Tambang tetap RM328 sehala itu ditawarkan bagi penerbangan antara Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu atau Miri selain Johor Bahru ke Kuching serta Sibu.

Sementara itu, penerbangan antara Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau selain antara Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada kadar RM388 sehala.

Menurut Loke, inisiatif tambang tetap AirAsia sempena Aidilfitri juga merupakan langkah penting dalam menjadikan perjalanan rakyat lebih inklusif selain membolehkan lebih ramai pulang beraya termasuk untuk perayaan Kaamatan, Gawai, dan Krismas.

Katanya, selain lebih 90 penerbangan lewat malam pada tambang tetap bagi 10 laluan itu,
AirAsia juga mengendalikan 287 penerbangan mingguan dengan tambang semasa ke Sabah dan Sarawak bagi menyokong inisiatif kerajaan sepanjang musim perayaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya