Kerajaan terima teguran Ketua Audit Negara - Utusan Malaysia

Kerajaan terima teguran Ketua Audit Negara

AHMAD Zahid Hamidi menziarahi keluarga Allahyarham Ishsam Shahruddin di Desa Seri Ampang di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan berlapang dada dan bersikap terbuka menerima teguran berhubung kerugian berjumlah RM2.66 bilion oleh 40 buah syarikat subsidiari daripada lima agensi Persekutuan seperti mana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun belum meneliti secara terperinci laporan berkenaan namun berharap agar semua syarikat pegangan dan anak syarikat mematuhi garis panduan yang ditetapkan Perbendaharaan.

“Ini juga diikuti sepenuhnya oleh syarikat yang berada di mana-mana badan berkanun. Kita harap apabila perkara ini menjadi laporan tahunan dan dibentangkan untuk dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen, maka kita berlapang dada.

“Kita juga berhati terbukalah untuk menerima sebarang teguran yang telah dikemukakan oleh Laporan Ketua Audit Negara,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin di Desa Seri Ampang, di sini hari ini.

Ishsam, 59, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan empat penjuru di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang kira-kira pukul 6 petang, Sabtu lalu.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 40 syarikat subsidiari daripada lima agensi Persekutuan mencatatkan kerugian bernilai RM2.66 bilion dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan kesusutan tertinggi pada 2023.

Berdasarkan LKAN 1/2025: Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023, agensi itu menerusi 21 syarikat subsidiarinya mencatatkan kerugian bernilai RM941 juta.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menerusi lima syarikat subsidiari pula mencatatkan kerugian bernilai RM720,000 juta diikuti Lembaga Tabung Haji (TH) rugi sebanyak RM690 juta melalui empat syarikat subsidiari.

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pula menerusi dua syarikat subsidiari merekodkan kerugian bernilai RM0.17 bilion manakala Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mencatatkan kesusutan sebanyak RM0.14 bilion (lapan syarikat subsidiari). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya