KUALA LUMPUR: Kerajaan terus memperkukuh sistem perundangan dengan mengadaptasi Model Undang-Undang mengenai insolvensi rentas sempadan yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah ini akan memastikan proses penyelesaian insolvensi lebih telus, adil, dan teratur selaras dengan amalan antarabangsa.
Beliau berkata, penggunaan model ini akan mewujudkan proses penyelesaian insolvensi yang lebih jelas, boleh diramal dan adil, sekali gus mengurangkan konflik perundangan serta kelewatan yang berpanjangan.
“Isu insolvensi melibatkan pelbagai negara boleh membawa risiko kewangan besar sekiranya tidak ditangani dengan rangka kerja undang-undang yang mantap.
“Ketiadaan undang-undang yang jelas berpotensi menyebabkan pertikaian berlanjutan bertahun-tahun, sekali gus memberi kesan kepada perniagaan, pemiutang serta kestabilan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Persidangan Insolvensi Rentas Sempadan Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Azalina berkata, bagi memastikan pelaksanaan Model Undang-Undang itu berjalan lancar, dua jawatankuasa utama akan ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Utama Reformasi Insolvensi Rentas Sempadan dan Jawatankuasa Kerja Reformasi Insolvensi Rentas Sempadan.
Beliau berkata, Jawatankuasa Utama Reformasi Insolvensi Rentas Sempadan bertanggungjawab menetapkan dasar dan memastikan rangka kerja perundangan selaras dengan keutamaan ekonomi negara.
Jawatankuasa Kerja Reformasi Insolvensi Rentas Sempadan pula akan diketuai oleh BHEUU, Jabatan Perdana Menteri melibatkan 20 agensi utama dan akan menumpukan kepada pembangunan dasar praktikal bagi mengintegrasikan Model Undang-Undang ini ke dalam sistem perundangan negara.
“Pelaksanaan Model Undang-Undang ini dijangka membawa pelbagai faedah kepada ekosistem kewangan negara.
“Ia akan meningkatkan kepastian undang-undang bagi semua pihak berkepentingan dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam menyelesaikan kes insolvensi.
“Selain itu, ia melindungi hak pemiutang dengan memastikan prosedur lebih adil serta meningkatkan keyakinan pelabur bagi membuktikan komitmen negara terhadap penyelesaian insolvensi yang berkesan,” ujarnya. – UTUSAN