Kerajaan Kelantan tidak haramkan lagu Bea Sobar Bea

Kerajaan Kelantan tidak haramkan lagu Bea Sobar Bea

HILMI Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak berhasrat mengharamkan dan menyekat lagu Bey Soba Bey atau Cinta Setandang Pisang daripada dimainkan, diputar termasuk dinyanyikan di dalam negeri ini.

Desas-desus kononnya lagu tersebut diharamkan di Kelantan tercetus apabila penyanyinya, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, 30, bersama suami dan empat rakan ditangkap berkait kes dadah di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand pada 1 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, salah faham itu berlaku apabila pengacara majlis dan Den Manjo membuat jenaka ringan atau berseloroh pada persembahan pada majlis makan malam bagi meraikan pemain industri pelancongan dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sebuah hotel di sini malam tadi.

“Pengharaman atau sekatan ke atas sesebuah lagu sebenarnya bergantung kepada lirik lagu berkenaan. Perkara itu juga bukan diputuskan oleh kerajaan negeri sebaliknya daripada pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).

“Ia sekadar jenaka ringan dan lagu itu masih boleh dinyanyikan, dimainkan atau diputarkan oleh mana-mana pihak di negeri ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Meraikan Pemain Industri Pelancongan Dalam Kawasan MPKB-BRI Tahun 2025 di sebuah hotel, di sini malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil memberitahu, penting untuk perkara itu diperjelaskan bagi mengelak salah faham berterusan terutamanya dalam kalangan pemain industri yang mungkin mahu memutarkan atau memainkan lagu tersebut di premis mereka atau program dianjurkan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin dan suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama empat rakan mereka ditangkap bersama 6,059 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand pada 1 November tahun lalu.

Susulan itu, Mahkamah Wilayah Narathiwat telah mengeluarkan perintah tahanan reman selama 84 hari atau hampir tiga bulan ke atas mereka bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan sebelum kes tersebut dibicarakan pada 11, 12 dan 14 Februari lalu.

Selepas itu, Mahkamah Wilayah Narathiwat menetapkan keputusan kes dadah melibatkan keenam-enam rakyat Malaysia itu pada 6 Mac ini selepas mendengar keterangan semua tertuduh dan saksi pendakwaan sepanjang tiga hari prosiding perbicaraan.

Eda Ezrin, Mohd. Affendi, Erdieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33 dan Zuhaira Nasrin, 26 mengaku salah atas pertuduhan mengambil dadah tetapi tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.

Sementara itu, Erdeika dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di Thailand. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya