Kerajaan kaji garis panduan penglibatan Muslim dalam majlis bukan Islam

Kerajaan kaji garis panduan penglibatan Muslim dalam majlis bukan Islam

MOHD. NA’IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang membangunkan garis panduan berkaitan penglibatan umat Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.

  1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, garis panduan itu bertujuan menggalakkan hubungan sosial dan keharmonian budaya dalam masyarakat berbilang agama di Malaysia.

Katanya, garis panduan tersebut akan memberi panduan kepada umat Islam agar dapat menghadiri majlis perayaan atau upacara agama lain dengan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.

“Garis panduan yang sedang dibangunkan ini adalah bersifat nasihat. Setelah dimuktamadkan nanti, ia akan membantu kerajaan dalam usaha mengukuhkan perpaduan dan membina sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat tanpa menimbulkan kebimbangan atau salah faham dari perspektif agama Islam.

“Ia secara langsung memastikan penganjuran dan penglibatan orang Islam dalam aktiviti tersebut tidak mencetuskan kontroversi atau menyentuh sensitiviti antara penganut agama,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd. Na’im berkata, garis panduan itu masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti termasuk Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN).

Katanya, garis panduan itu akan diteliti secara menyeluruh dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-126, yang dipengerusikan oleh Datuk Nooh Gadot serta dianggotai oleh mufti-mufti dan ahli-ahli pakar.

Keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI itu kemudiannya akan dibawa untuk pertimbangan Mesyuarat MKI yang dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sehubungan itu, Mohd. Na’im menggesa semua pihak agar tidak menimbulkan salah faham atau mempolemikkan isu ini sehingga mencetuskan keresahan dalam masyarakat.

“Tujuan garis panduan ini untuk memastikan penganjuran aktiviti berorientasikan keagamaan dilaksanakan secara tertib dan menjadi wadah berkesan ke arah pengukuhan keharmonian negara,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN