KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberi moratorium yang membolehkan perhimpunan aman diadakan tanpa perlu mendapatkan surat kebenaran pemilik premis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut adalah sementara menunggu pindaan terhadap Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) dikuatkuasakan.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada reformasi kerajaan Madani dalam menjunjung demokrasi serta menghormati kebebasan bersuara dan perbezaan pandangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Perdana Menteri sementara itu berkata, pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang yang bertujuan memperkukuh hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
Katanya, pindaan berkenaan mengetepikan keperluan mendapatkan kelulusan tempat berhimpun dan digantikan dengan keperluan pemakluman kepada polis dalam tempoh lima hari sebelum perhimpunan berlangsung.
Langkah ini jelas beliau, bertujuan memastikan kebebasan rakyat untuk menyuarakan pandangan dapat dipermudah tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
“Kita mahu memastikan bahawa rakyat mempunyai ruang yang lebih luas untuk bersuara dan menyatakan pandangan mereka melalui perhimpunan aman.
“Dengan pindaan ini, mereka tidak lagi perlu mendapatkan kelulusan lokasi tetapi cukup sekadar memaklumkan pihak polis. Namun, kita tetap menekankan kepentingan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – UTUSAN