Kerajaan bentang pindaan Akta 530 tahun depan

Kerajaan bentang pindaan Akta 530 tahun depan

AHMAD ZAHID HAMIDI - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan bakal membentangkan pindaan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 atau Akta 530 pada 2026 bagi membolehkan harta pusaka Felda diwarisi oleh generasi seterusnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sedang meneliti isu-isu berkaitan kawasan penempatan berkelompok (GSA) termasuk mengenai turun milik atau pewarisan dan mencari solusi terbaik untuk menanganinya.

Kata beliau, pindaan terhadap Akta 530 dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan dan berkuatkuasa pada tahun berikutnya.

Jelasnya, kerajaan sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mesyuarat Penyelarasan Pindaan Akta 530 yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Susulan itu, beberapa gerak kerja telah dilaksanakan antaranya pengumpulan isu-isu GSA, Bengkel Akta 530, sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan seperti wakil-wakil peneroka, generasi baharu Felda dan sebagainya.

“Dalam hal ini, segala dapatan yang diperolehi akan digunakan oleh kerajaan dalam membuat pertimbangan untuk membuat ketetapan dasar bagi menangani isu-isu GSA secara pentadbiran atau melalui perundangan yang memerlukan pindaan Akta 530,” katanya di dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai kesediaan kerajaan meminda Akta 530.

Ahmad Zahid berkata, pada ketika ini harta pusaka tanah peneroka Felda tertakluk kepada kepada peruntukan undang-undang di dalam Akta 530 Seksyen 14 (2), 15 (1) dan sekatan kepentingan di dalam geran hakmilik peneroka.

Jelasnya, ia hanya memperuntukkan dua penama boleh didaftarkan di dalam geran hakmilik sebagai pemilik atau pentadbir.

“Peneroka Felda pertama yang mendapat geran hakmilik adalah pada tahun 1985 yang mana usia pajakan baru menjangkau 40 tahun. Ini bermakna masih berbaki 59 tahun.

“Secara umumnya hakmilik tanah yang dikeluarkan kepada peneroka adalah berstatus Pajakan Mukim untuk tempoh 99 tahun dengan kerajaan negeri masing-masing.

“Sekiranya pajakan masih berbaki 20 hingga 30 tahun, peneroka boleh memohon pelanjutan tempoh pajakan kepada pihak kerajaan negeri dan segala bayaran berkaitan dengan proses tersebut adalah di bawah tanggungjawab pemilik atau peneroka,” jelasnya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, Akta 530 bakal dipinda bagi menyeragamkan peraturan membenarkan lebih satu rumah dibina di atas satu lot di tanah Felda.

Katanya, langkah itu bertujuan menyediakan keperluan perumahan bagi generasi kedua, ketiga dan keempat peneroka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya