KUALA LUMPUR: Kerajaan belum merancang untuk memperkenal mekanisme khas bagi menentukan kadar upah yang berpatutan dalam industri gig.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pendekatan seimbang yang diambil adalah bagi memastikan fleksibiliti asas industri gig terus dipelihara.
“Kawal selia yang terlalu ketat berisiko mengganggu ekosistem gig yang telah sedia beroperasi dengan dinamiknya tersendiri,” katanya di sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) yang meminta beliau menyatakan adakah kementerian berhasrat untuk menyediakan satu algoritma khas dalam meletakkan keadah gaji minimum kepada pekerja industri gig.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pihak kementerian akan terus memantau perkembangan sektor tersebut bagi memastikan kebajikan pekerja dilindungi tanpa menjejaskan fleksibiliti pekerjaan mereka.
Katanya, sebarang langkah pada masa depan hanya akan dilaksanakan selepas perundingan bersama pihak berkepentingan untuk mengekalkan keseimbangan antara perlindungan pekerja dan kemajuan ekonomi digital negara. – UTUSAN