Kepincangan masyarakat, penyakit sosial kerana hilang adab

Kepincangan masyarakat, penyakit sosial kerana hilang adab

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kepincangan masyarakat dan penyakit sosial yang sedang berlaku bukan kerana tidak mempunyai cukup undang-undang tetapi kerana manusia sudah kehilangan adab.

Baginda bertitah, pelbagai kepincangan masyarakat dan penyakit sosial yang sedang melanda dunia pada hari ini hendaklah dilihat sebagai bukti yang menunjukkan, bahawa sekadar memiliki undang-undang dan perundangan, tidak membawa sebarang makna.

Titah baginda, oleh itu, amatlah bertepatan ungkapan kata Imam Malik bin Anas akan pentingnya kedua-dua cabang ilmu fiqah dan tasawuf diintegrasikan.

“Fiqah telah menyediakan pelbagai komponen perundangan, merangkumi ibadah, muamalah, kekeluargaan, jenayah dan pelbagai perkara lagi; malah turut merangkumi pemeliharaan ibadah, akhlak serta peraturan sosial dan politik.

“Pelbagai kepincangan masyarakat dan penyakit sosial yang sedang melanda dunia pada hari ini hendaklah dilihat sebagai bukti yang menunjukkan, bahawa sekadar memiliki undang-undang dan perundangan, tidak membawa sebarang makna. Lihatlah apa yang sedang berlaku di persekitaran kita.

“Kepincangan masyarakat dan penyakit sosial yang sedang berlaku, penipuan, perlakuan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, penindasan, penyeksaan, persengketaan, pertelingkahan, perebutan kuasa, peperangan, pembunuhan semakin berlaku, bukan kerana kita tidak mempunyai cukup undang-undang.

“Segala-galanya berlaku kerana manusia sudah kehilangan adab,” titah baginda pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, apabila manusia merasakan akal fikirannya terlebih pintar, dan apabila manusia sedang mabuk dilambung gelombang kuasa, manusia mula beranggapan mereka berupaya melakukan pelbagai helah untuk menguasai dunia dan mendominasi manusia lain.

Titah baginda, mereka beranggapan memiliki kekebalan, bebas dan terlepas daripada hukum dunia, lalu undang-undang dipersenda, dimanipulasi dan akhirnya disisihkan, tanpa sedikit pun merasa gentar terhadap alam kubur, terhadap kewujudan Mahkamah Rabul Jalil pada hari kebangkitan, dan wujudnya pembalasan di akhirat.

Sultan Nazrin bertitah, sejak terpinggirnya didikan ilmu tasawuf di bangku sekolah, manusia kini seakan-akan jasad yang hilang rohnya, bagaikan pohon yang hilang sumber airnya dan ummah kini sudah tidak lagi mementingkan rohani, sebaliknya dibelenggu dengan habuan kebendaan dan keduniaan.

Pada waktu yang sama, titah baginda, turut terdapat gerakan membenci tasawuf sehingga melahirkan generasi yang tidak beradab malah ke peringkat bersifat biadab, menderhakai ibu bapa dan guru, generasi yang tidak malu menghina umara dan ulama, juga menyanggah dan mencabar ulul amri dengan mengucapkan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang Mukmin.

“Adab daripada kaca mata Islam begitu juga dalam budaya Melayu merujuk kepada tatacara atau tingkah laku yang berpekerti, akhlak yang baik, sopan, tertib, berbudi bahasa, jujur dan ikhlas, sifat menghormati dan berperikemanusiaan; iaitu komponen-komponen yang membentuk nilai dan watak murni insani.

“Kepentingan adab sebelum menuntut ilmu ditegaskan oleh para ulama. Para ulama lebih mendahulukan adab daripada ilmu. Seseorang yang menguasai ilmu tanpa memiliki adab, akan berakhir sebagai ilmuwan yang tempang, dibimbangi akan mendakyah masyarakat dengan ilmu yang songsang,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya