Kenyataan tidak selari prinsip Pas tidak boleh dianggap wakili parti, jawatan - Utusan Malaysia

Kenyataan tidak selari prinsip Pas tidak boleh dianggap wakili parti, jawatan

TAKIYUDDIN Hassan (berdiri, tengah) menyaksikan Majlis Tandangan Dokumen Perjanjian SRITI Al-Fateh dan Yayasan Nik Yahya di Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebarang kenyataan daripada pemimpin di mana-mana peringkat yang tidak selari atau bercanggah dengan pendirian serta prinsip Pas tidak boleh dianggap mewakili parti itu, malah tidak boleh mewakili jawatan disandang kepemimpinan berkaitan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara seperti dilakukan oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad juga tidak sepatutnya dianggap sebagai mencerminkan keseluruhan kepemimpinan Pas.

“Saya boleh kata dalam semua organisasi akan ada seorang atau dua orang yang macam ini (Razman dan Siti Mastura) tetapi takkanlah kerana mereka, kita nak mengatakan dalam organisasi berkenaan, semuanya begitu.

“Itu merupakan pandangan peribadi dan ia tidak mewakili parti, malah ia tidak boleh mewakili jawatan itu sendiri walaupun dia bercakap atas nama Pesuruhjaya Pas,” katanya selepas Majlis Tandangan Dokumen Perjanjian Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Fateh dan Yayasan Nik Yahya di Kampung Sireh, di sini hari ini.

Pada 29 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Razman yang secara salah menyebut beliau sebagai anak pengasas sebuah syarikat besar walaupun Pesuruhjaya Pas Perak itu sudah memohon maaf.

Terdahulu, pada 27 Januari lalu media melaporkan Razman mengakui terkhilaf apabila mengaitkan Hannah dengan konglomerat YTL semasa berucap pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar, Parit, Perak pada 26 Januari dengan memberi alasan ia adalah kesilapan kod yang berlaku tanpa disengajakan.

Takiyuddin berkata, Pas menganggap perkara itu sebagai isu terpencil kerana hanya melibatkan satu atau dua individu, sedangkan terdapat lain-lain parti melakukan perkara lebih teruk termasuk menggelarkan parti lain sebagai ‘celaka’.

“Sebagai parti Islam, kita masih berasakan ahli-ahli dan kepemimpinan Pas terkawal dan kita sentiasa mendisiplinkan mereka. Kalau ada yang terlanjur, pasti akan ada tindakan secara dalaman. Paling tidak teguran atau amaran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, setiap ahli Pas bebas menyuarakan pendapat termasuk meminta seseorang pimpinan itu ditukar atau berhenti tetapi pada akhirnya, kuasa melantik pesuruhjaya berada di tangan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Terpulang kepada budi biara Presiden Pas untuk menentukan dengan persetujuan Pas Pusat. Kepimpinan juga sepatutnya lebih tahu kesan daripada setiap tindakan mereka. Jadi saya seru semua ahli, serahkan kepada kepimpinan untuk menyelesaikan masalah ini.

“Seperti juga kes Dr. Siti Mastura, kita ambil tanggungjawab walaupun apa yang dilakukan bukan arahan parti serta bukan disenangi parti. Tetapi apabila berlaku keputusan mahkamah, kita ambil tanggungjawab, namun tentunya dengan syarat-syarat tertentu di peringkat parti,” ujarnya. –  UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya