JOHOR BAHRU: Kenyataan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kemungkinan pilihan raya mengejut pada hujung tahun ini adalah satu gimik politik.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kenyataan itu juga dilihat sebagai helah Bersatu yang sengaja menarik perhatian rakyat kepada mereka.
“Ini kerana mereka sengaja mahu sesuatu yang boleh rakyat beri perhatian kepada mereka, mungkin mereka sudah tidak ada perkara lain yang hendak dicakapkan.
“Walaupun begitu, semua parti politik pada setiap masa akan berusaha untuk bersedia dalam apa sahaja keadaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Akademi Jaya Bersama Sekolah Politik UMNO Johor Bahru di Bangunan UMNO Johor, di sini malam tadi.
Semalam, Azmin dilaporkan berkata, Bersatu akan menggerakkan jentera untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut pada hujung tahun ini.
Setiausaha Agung Bersatu itu berkata, perkara tersebut telah ditegaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden dalam perbincangan bersama pemimpin parti itu, kelmarin.
“Presiden menegaskan bahawa semua jentera Bersatu mesti digerakkan sekarang untuk menghadapi kemungkinan ‘pilihan raya mengejut’ pada hujung tahun ini,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.
Mohamed Khaled berkata, sebagai kerajaan yang memerintah, kerajaan perlu menggunakan mandat yang ada untuk dapat terus maju dan bangunkan negara.
“Apa yang saya tahu, banyak program dan perancangan kerajaan baru sahaja hendak dimulakan, kita masih tunggu hasil daripada perancangan itu.
“Jadi, kalau kita asyik dua hingga tiga ada pilihan raya, kita tidak akan ke mana. Atas sebab itulah pada saya ini (kenyataan Azmin) adalah gimik politik,” ujarnya.
Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azlen Ambros berkata, kenyataan Azmin itu disifatkan sebagai satu provokasi menggagalkan segala usaha baik yang sedang dilakukan kerajaan ketika ini.
Katanya, UMNO ketika ini memberikan fokus untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat.
“Ia lebih kepada provokasi dan cuba untuk kita berikan respons, walhal hari ini kepemimpinan kerajaan yang ada termasuk UMNO tidak pernah bercakap pasal pilihan raya.
“Lagi pun, macam tidak sesuai untuk bercakap pasal pilihan raya. Banyak lagi usaha kerajaan tengah buat sekarang untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN