Kenduri kahwin tema klasik imbau nostalgia zaman dahulu

Kenduri kahwin tema klasik imbau nostalgia zaman dahulu

SUASANA kenduri kahwin pasangan pengantin di Kampung Wang Belimbing mengembalikan nostalgia zaman dahulu apabila saudara-mara mengenakan pakaian Melayu klasik menyerikan majlis berkenaan di Kangar, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Suasana kenduri kahwin pasangan pengantin di Kampung Wang Belimbing di sini mengembalikan nostalgia zaman dahulu apabila saudara-mara dan penduduk bergotong-royong menjayakan majlis berkenaan yang berlangsung dalam suasana kampung.

Menariknya, para tetamu dan saudara mara pasangan Kamarul Azhar Abdullah, 35, dan Nurul Syafinaz Che Abdullah, 33, itu mengenakan seragam pakaian Melayu klasik pada majlis yang cukup meriah.

Para tetamu wanita pelbagai lapisan usia cantik dengan baju kurung Kedah dan kain batik manakala lelaki pula mengenakan pakaian tradi­sional Melayu.

Pengelola majlis, Ariaty Mastura Arifin berkata, saudara-mara bekerjasama me­rancang dan menjayakan majlis bertema Melayu klasik itu sejak lebih seminggu lalu.

Katanya, suasana majlis kenduri berkenaan seolah-olah seperti berada di zaman dahulu dengan semua tetamu seragam mengenakan pakaian Melayu klasik.

“Di zaman serba moden, majlis kenduri kahwin dalam suasana kampung seperti ini dan masih mengekalkan semangat kerjasama dalam kalangan penduduk sangat memberi makna.

“Kami bergotong-royong memasak, menyediakan tempat bersanding mengikut tema selain berarak bersama mengiringi pengantin dengan tema pakaian Melayu klasik ini.

“Ia secara tidak langsung meninggalkan kenangan manis bukan sahaja buat saudara mara, malah tetamu yang hadir pada majlis berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Ariaty berkata, setiap kali majlis kenduri melibatkan saudara mara, mereka masih mengekalkan semangat gotong-royong.

“Semangat itu sentiasa kami terapkan dalam mengekalkan ikatan erat kekeluargaan meskipun di mana sekali pun berada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya