PETALING JAYA: Gula-gula getah gummy eyeball yang menyebabkan seorang murid sekolah maut sangat berbahaya kerana ia memiliki tekstur licin dan kenyal yang mudah tergelincir terus ke dalam tekak sebelum sempat dikunyah.
Public Health Malaysia dan hantaran di X memberi amaran bahawa, bentuk bulat dan besar jika tidak dikunyah sempurna, ia boleh tersangkut di saluran pernafasan.
Menurut kenyataan itu, apabila tersangkut ia sukar dikeluarkan jika tersedak.
“Berbeza dengan makanan keras yang boleh dihentak keluar, gula-gula ini melekit dan boleh menyumbat saluran udara sepenuhnya.
“Risiko lebih tinggi pada kanak-kanak kecil. Mereka belum pandai mengunyah dengan betul dan lebih mudah panik jika tercekik.
“Kanak-kanak bukannya tahu bahaya—mereka hanya tahu makanan itu manis dan seronok dimakan,” demikian kata kenyataan itu.
Sehubungan itu orang ramai diminta melaporkan kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa jika nampak gula-gula ini dijual di sekolah atau kedai berhampiran. – UTUSAN