KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bercadang memperkenalkan Modul Pendidikan Rukun Negara kepada semua prasekolah, termasuk tadika KEMAS dan tadika swasta.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, cadangan itu sedang melalui fasa perbincangan bersama Kementerian Pendidikan.
“Cadangan ini kita bincangkan bersama KPM dan turut berada dalam fasa libat urus.
“Kita berharap modul ini dapat dilaksanakan dan diperluaskan supaya elemen kenegaraan dapat diterapkan dengan lebih berkesan kepada kanak-kanak,” katanya semasa sidang akhbar di Taska Perpaduan Taman Sri Rampai, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan melalui Inisiatif Madani telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi tujuan baik pulih 119 buah tabika perpaduan di seluruh negara.
Katanya, insentif itu akan digunakan untuk meningkatkan kualiti kemudahan dan persekitaran pembelajaran bagi kanak-kanak yang mengikuti pendidikan awal di tadika berkenaan.
Menurut Aaron, kerja baik pulih yang dirancang meliputi pelbagai aspek penting, termasuk pembaikan mekanikal dan elektrik, selain perolehan peralatan, perabot, serta kelengkapan lain yang menepati piawaian ditetapkan.
“Kerajaan komited dalam memastikan setiap tabika perpaduan mempunyai kemudahan yang selesa dan selamat, sejajar dengan usaha memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak dan nilai perpaduan sejak usia muda,” katanya. – UTUSAN