Kementerian Pendidikan pastikan pendidikan negara kekal relevan

Kementerian Pendidikan pastikan pendidikan negara kekal relevan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan terus berusaha memastikan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dilaksanakan demi pembangunan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat.

Menjunjung sembah titah baginda yang menyentuh beberapa perkara termasuk isu pendidikan dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15,  kementerian berkata, pihaknya sentiasa proaktif meningkatkan infrastruktur pendidikan negara bagi memastikan akses pendidikan berkualiti kepada semua murid.

Katanya, antara peruntukan diluluskan adalah pembinaan 44 sekolah, 11 Pusat Permata yang dilengkapi dengan pusat didikan anak-anak autistik serta dua sekolah baharu bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).

“Sejumlah RM2 bilion diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara merangkumi RM1 bilion untuk menyelenggara semua jenis sekolah termasuk institusi pendidikan Kementerian Pendidikan.

“Manakala, RM1 bilion lagi untuk menaik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak. Sebanyak RM100 juta turut diperuntukkan untuk membaik pulih kemudahan kantin dan surau di sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kementerian Pendidikan, agenda Reformasi Pendidikan yang direncanakan sedang giat berjalan di setiap peringkat bagi memastikan pendidikan negara kekal relevan serta dapat menangani cabaran semasa dengan tuntas.

“Ia memberi penumpuan kepada enam fokus utama iaitu digital, bahasa, literasi, sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta prasekolah,” katanya.

Dalam titah Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka menekan penyediaan infrastruktur asas, kemudahan kesihatan dan pendidikan hendaklah ditambah baik oleh kerajaan.

Titah Sultan Ibrahim, langkah kerajaan melaksanakan agenda reformasi pendidikan, latihan teknikal dan vokasional serta pembangunan belia akan melahirkan generasi masa depan yang lebih berkualiti.

Tambah kementerian itu lagi, selaras dengan usaha memperkasakan pendidikan TVET, kerajaan telah meningkatkan kadar Bantuan Geran Per Kapita (PCG) TVET sebanyak 15 peratus dengan kos keseluruhan berjumlah RM900 juta. 

Katanya, sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan kepada Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik seluruh negara yang menyediakan pendidikan kepada 77,000 orang pelajar.

“Tumpuan pada tahun 2025 terarah kepada pelan pembangunan pendidikan yang baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan persediaan bagi kurikulum persekolahan 2027. 

“Program Generasi Madani (GenMADANI) pula dilaksanakan di sekolah-sekolah sebagai wadah untuk memupuk perpaduan serta membina karakter bangsa Malaysia yang beradab, berakhlak dan berintegriti,” katanya.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya