Kementerian Kewangan jawab pandangan lima pengarah bebas MAHB tidak bersetuju - Utusan Malaysia

Kementerian Kewangan jawab pandangan lima pengarah bebas MAHB tidak bersetuju

AMIR Hamzah Azizan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan tampil menjelaskan mengenai laporan yang mendedahkan bahawa lima orang Pengarah Bebas Bukan Eksekutif tidak bersetuju dengan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan mengesyorkan menolak tawaran pembelian.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, saranan dibuat oleh lima pengarah bebas itu adalah harga tawaran konsortium tidak mencerminkan nilai sebenar MAHB bersandarkan justifikasi bahawa memiliki prospek pertumbuhan yang baik.

Kata beliau, hujah berkenaan sudah disangkal oleh konsortium Gateway Development Alliance Sdn. Bhd. (GDA) yang beranggapan bahawa prospek yang dibangkitkan oleh pengarah bebas MAHB adalah terlalu optimistik.

Jelasnya, pandangan itu tidak akan dapat direalisasikan dalam keadaan sedia ada dengan mengambil kira cabaran berlarutan yang dihadapi.

“Pemegang saham minoriti MAHB bebas membuat sebarang keputusan sama ada untuk menerima atau menolak tawaran konsortium berdasarkan pertimbangan peribadi mereka dengan mengambil kira saranan dan justifikasi yang diberikan.

“Hakikatnya, hampir semua para pemegang saham MAHB sudah membuat keputusan untuk menerima tawaran ini, di mana setakat 12 Februari lalu, konsortium GDA sudah berjaya mencatatkan kadar penerimaan yang sah sebanyak 98.68 peratus,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang meminta tindakan kerajaan berhubung perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, usaha untuk merealisasikan prospek pertumbuhan MAHB memerlukan pelaburan berskala besar serta kepakaran teknikal yang tinggi.

Jelasnya, kekangan yang ada pada MAHB ketika ini membataskan kemampuan mereka untuk melaksanakan transformasi menyeluruh, seperti yang dapat disaksikan menerusi pelaksanaan penggantian aerotren yang masih tergendala dan belum dapat disempurnakan sehingga kini.

“Mengambil kira suasana persaingan serantau yang semakin sengit dan mencabar ini, MAHB perlu segera melaksanakan pembaharuan perkhidmatan mereka dan menggiatkan pelaburan bagi memastikan Malaysia terus kekal berdaya saing.

“Oleh itu, konsortium tersebut melihat bahawa penswastaan MAHB merupakan langkah yang terbaik kerana ia membolehkan sebarang keputusan dan pelaburan jangka panjang dibuat pada kadar yang lebih pantas,” jelasnya.

Amir Hamzah berkata, kerajaan percaya usaha transformasi MAHB akan membuahkan hasil dan dapat menarik lebih banyak syarikat penerbangan, penumpang serta sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan memberi pulangan kepada kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya