KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan kes seorang maut dan lapan lagi Orang Asli dari Kampung Chergun dan Guntur, Kuala Pilah yang mengalami jangkitan wabak kusta di penempatan mereka adalah kes terpencil.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kes jangkitan berkenaan kerana ia bukanlah melibatkan penyebaran wabak berskala besar.
“Kita akan terus membuat penyiasatan dalam hal ini (jangkitan wabak kusta) dan menangani perkara ini segera.
“Ia bukanlah peningkatan mendadak tetapi hanya kes terpencil sahaja. Kita harap dapat mengelakkan jangkitan wabak itu (pada masa depan),” katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Future Healthcare Asia 2025 di sini, hari ini.
Terdahulu, semasa mesyuarat mingguan EXCO, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, mangsa yang meninggal dunia pada 17 Februari lalu, melibatkan seorang remaja berusia 18 tahun dari Kampung Orang Asli Chergun.
Sebelum itu, mangsa dikatakan mengalami demam selama seminggu.
Susulan itu, Pejabat Kesihatan Daerah telah mengesahkan bilangan pesakit di kedua-dua kampung berkenaan dan saringan secara agresif dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
KKM sentiasa menjalankan proses intervensi, pencegahan dan pengesanan wabak kusta melalui Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) yang berperanan penting dalam usaha membanteras dan mengawal penyakit kusta di negara ini.-UTUSAN