KUALA KANGSAR: Panduan terkini berkaitan tatacara penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara agama lain akan terus dilakukan di peringkat akar umbi.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, garis panduan yang dikeluarkan pada tahun 2005 masih boleh dijadikan rujukan.
Tambahnya, sebarang penambahbaikkan dan kemaskini garis panduan akan terus disampaikan kepada umat Islam walaupun secara tidak bertulis, agar tiada yang terjerumus atau mengamalkan amalan yang menjejaskan akidah.
“Tidak perlu jadi satu garis panduan yang bertulis. Namun kita melalui akar umbi, kita ada pegawai takmir atau guru KAFA, kita sampaikan maklumat agar masyarakat Islam faham apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilaksanakan,” katanya selepas melancarkan Kampung Angkat Madani Jakim di Kampung Menora di sini hari ini.
Pada awal bulan ini, jemaah menteri memutuskan tidak perlu garis panduan tertentu dengan menyatakan masyarakat Islam sudah sedia maklum dengan keperluan penjagaan akidah dan penglibatan dibolehkan selagi niat untuk menyantuni masyarakat lain yang berbilang agama dan bangsa.
Sementara itu mengenai penarikan pengiktirafan tiga badan pensijilan halal yang berpangkalan di luar negara, Sirajuddin berkata, tindakan itu dibuat selepas menerima aduan dan mendapat maklumat berkenaan ketidakakuran prosedur yang ditetapkan.
“Badan-badan ini diberikan tempoh untuk membuat penambahbaikkan dan pembetulan terhadap kesilapan yang berlaku untuk kita nilai semula dari segi pengiktirafan tersebut,” katanya.
Tiga badan pensijilan yang ditarik balik pengiktirafannya ialah China Islamic Association (CIA) dari China, Centre For Halal Quality Certification (CHQC) dari Croatia dan Ritual Association of Lyon’s Great Mosque (ARGML) dari Perancis.
Beliau berkata, semua produk-produk berkaitan yang dikeluarkan dan disahkan selepas tarikh penarikan pengiktirafan tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia.
Katanya, antara contoh biasa keraguan integriti halal ialah berkaitan kandungan alkohol atau ramuan yang digunakan tidak disijilkan halal.
“Produk-produk yang telah memasuki Malaysia lebih awal adalah tidak dikhuatiri. Jika ada keperluan, kita akan menarik keluar dari pasaran. Kita akan minta kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk ditarik keluar,” katanya sambil menambah hal itu akan diuruskan bersama dengan syarikat pengimport. – UTUSAN