KUALA LUMPUR: Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terbabit dalam insiden kejar mengejar dengan bot warga Indonesia di perairan Pulau Carey, Selangor pada 24 Januari lalu direhatkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau juga sudah mengeluarkan arahan untuk agensi terbabit menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian tersebut.
Beliau berkata, anggota yang terlibat itu direhatkan buat sementara waktu sementara siasatan tersebut dijalankan bersama siasatan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Maritim Malaysia sendiri sedang menjalankan siasatan dalaman ke atas anggota yang terbabit. Saya baru saja mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
“Kami setuju bahawa ketika siasatan dijalankan oleh pihak polis ke atas Maritim Malaysia, anggotanya yang terbabit dalam insiden itu, mereka akan direhatkan,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, satu insiden tegang berlaku di perairan Tanjung Rhu, Banting, Selangor, 24 Januari lalu apabila sebuah bot yang dipercayai dinaiki warga asing bertindak agresif dengan melanggar bot milik Maritim Malaysia dan menyerang anggota agensi itu menggunakan parang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, demi mempertahankan diri anggota penguat kuasa melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot suspek.
Kejadian menyebabkan seorang warga asing maut manakala empat lagi cedera dalam insiden sekitar pukul 3 pagi itu.
Susulan kejadian itu juga, sekitar 100 penunjuk perasaan Indonesia bertindak melempar telur ke arah bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta sebagai tanda protes. – UTUSAN